Jualan Agro Madani bantu rakyat jimat RM16.8 juta

Iklan
Arthur (dua, kanan) bertanyakan sesuatu kepada Siti Juna (dua, kiri) mengenai produk tauhu yang dihasilkan oleh Syarikat Hanan Soya. Foto Bernama

TAWAU - Sebanyak 2,745 Jualan Agro Madani yang diadakan bermula 1 Januari hingga 12 Mei lepas telah memberikan penjimatan pembelian bernilai kira-kira RM16.8 juta kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, program itu juga memberikan faedah kepada lebih 31,000 usahawan tempatan termasuk usahawan bimbingan kerajaan yang memasarkan produk masing-masing dengan merekodkan jualan berjumlah RM56.55 juta dalam tempoh berkenaan.

Iklan
Iklan

"Program ini membantu rakyat mendapat akses barangan seperti beras, ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan secara langsung daripada pengeluar atau pengusaha dengan penjimatan harga sehingga 30 peratus kerana tidak melibatkan orang tengah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani Mega di sini pada Sabtu.

Jualan Agro Madani dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui tiga agensi pelaksana iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Iklan

Menurutnya KPKM menyasarkan 5,000 sesi Jualan Agro Madani di seluruh negara pada tahun ini.

Sehubungan itu beliau berkata, pada tahun lepas, 5,608 program Jualan Agro Madani diadakan membabitkan 74,841 usahawan dengan nilai jualan RM93.74 juta.

Iklan
Arthur (dua, kanan) bertanyakan sesuatu kepada Siti Juna (dua, kiri) mengenai produk tauhu yang dihasilkan oleh Syarikat Hanan Soya. Foto Bernama

"Pada tahun lalu program itu mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.8 juta kepada 11.6 juta isi rumah. Ini menunjukkan Jualan Agro Madani mendapat sambutan baik dalam kalangan B40 serta M40," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, Karnival Jualan Agro Madani Mega Tawau yang diadakan selama tiga hari berakhir esok dijangka menerima kehadiran 30,000 pengunjung dengan nilai jualan RM850,000.

"Pada hari ini, 140 usahawan terbabit dalam karnival ini dan terdapat jualan harga istimewa iaitu 4,000 kampit beras dijual dengan harga promosi RM25 setiap satu serta 2,000 bakul Kombo Madani dengan harga promosi RM20 setiap satu," katanya.

Seorang pengunjung Fariza Saka, 42, berkata, program itu perlu diadakan lebih kerap kerana membantu rakyat mendapatkan harga barangan pada harga murah.

Fariza berkata, dia bersama suami dan kakaknya bergerak seawal pagi dari kediaman di Balung iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Tawau semata-mata mahu ke karnival itu bagi membeli barangan keperluan pada harga murah.

Penjawat awam itu tidak melepaskan peluang membeli beras, ayam bulat dan bakul Kombo Madani yang mengandungi barangan antaranya telur dan minyak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!