'Dinding kedai retak sehingga boleh masuk sebelah tangan'

Iklan
Retak berlaku sehingga boleh masuk sebelah tangan Yin Kheng. Yin Kheng menunjukkan kesan retak pada kedainya.

SEREMBAN - Peniaga di Jalan Tuanku Antah di sini mendakwa kedai mereka mengalami masalah keretakan serius akibat kerja-kerja membaik pulih longkang di situ pada Februari lalu.

Lebih membimbangkan ada keretakan yang besarnya sehingga tujuh sentimeter.

Iklan
Iklan

Menurut pemilik kedai alat ganti motosikal, Chan Yin Kheng, 39, masalah dihadapi membabitkan lapan unit kedai dan yang mengalami masalah keretakan serius ialah lot kedai bernombor 163,164 dan 165.

"Selepas empat hari projek itu, saya tengok siling tingkat atas kedai saya terjatuh dan selepas itu ada beberapa keretakan pada bahagian dinding," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Ujarnya, dia kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berwajib, namun diberitahu yang kerja-kerja tersebut tidak memberi kesan kepada struktur bangunan.

Retak pada dinding di luar kedai yang jelas kelihatan.
Bagaimanapun katanya, lama kelamaan masalah keretakan berlaku semakin serius dan membimbangkan.

Iklan

"Besar retak itu sekarang sehingga saya boleh masukkan sebelah tangan saya atau sebesar tujuh sentimeter.

"Malah retak ini turut berlaku pada kedai-kedai lain dan ia lebih menyakinkan kami puncanya disebabkan kerja-kerja baik pulih longkang tersebut kerana ketika ia dilakukan, ada berlaku gegaran," katanya.

Tambahnya, jika keretakan itu disebabkan faktor bangunan itu sudah lama, ia semestinya sudah terjadi sebelum ini lagi dan bukannya sekarang.

Katanya, dia bukannya mahu menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu mereka bertanggungjawab.

Mook Yan Ping

Pemilik restoran, Mook Yan Ping, 36, pula berkata, disebabkan bimbang berlaku kejadian tidak diingini sepanjang kerja-kerja membaik pulih itu, dia membuat keputusan menutup operasi selama tiga minggu.

Katanya, masalah keretakan terbabit hanya diketahui selepas dinasihatkan oleh peniaga lain supaya membuat pemeriksaan pada keseluruhan kedainya.

"Waktu itu saya sedang bercuti dan apabila saya balik, saya tengok siling tingkat atas terjatuh dan ada beberapa keretakan di bahagian dinding.

"Mujurlah kejadian itu berlaku ketika kami tiada di kedai dan yang membimbangkan sekarang, keretakan berlaku makin serius dan ia sangat berisiko," katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian berhubung masalah itu dan bukannya hanya bertindak apabila ada kehilangan nyawa.

Lebar retak di salah sebuah kedai di Jalan Tuanku Antah

Sementara itu, MBS memaklumkan, pihak kontraktor yang dilantik akan mendapatkan khidmat nasihat syarikat insurans sama ada keadaan itu termasuk dalam perlindungan atau sebaliknya.

"Satu lawatan sudah dibuat ke lokasi pada Mac lalu, dan hasil siasatan mendapati keretakan bukan berpunca daripada kerja naik taraf longkang dan difahamkan keadaan sudah berlaku sejak 2021.

"Siasatan juga mendapati bangunan ini sudah berusia hampir 100 tahun dan mengalami keuzuran, pereputan material dan kemerosotan struktur.

"Pemilik bangunan disyorkan membuat penjagaan dan penyelenggaraan sendiri secara berkala," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!