Pelanggan kedai serbaneka tangkap lelaki cuba samun

Iklan
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Tindakan pantas orang ramai berjaya membantu polis menangkap tiga suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat kegiatan samun dan cubaan samun di dua kedai serbaneka.

Tangkapan itu dilakukan selepas salah seorang suspek cuba melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ibrahim kira-kira jam 3 pagi, hari ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, seorang juruwang warga negara Bangladesh yang berusia 29 tahun ketika sedang bertugas di sebuah kedai serbaneka didatangi seorang lelaki.

"Lelaki itu mengeluarkan objek di tangannya menyerupai alat buku lima ke arah mangsa dan mengarahkannya membuka laci kaunter tunai supaya menyerahkan wang tunai kepadanya. Akibat ketakutan, mangsa mengikuti arahan suspek.

Iklan

"Kemudian datang beberapa pelanggan lain memasuki kedai dan ternampak perbuatan suspek. Dua pelanggan lelaki yang berada di situ bertindak menangkap lelaki berkenaan sebelum sempat wang tunai diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa bertugas bersama seorang rakan senegara Bangladesh di dalam premis yang turut mempunyai pelanggan

Iklan

"Kira-kira 15 minit kemudian, anggota Unit Peronda Polis (MPV) yang sampai ke lokasi membuat tangkapan semula serta merampas alat buku lima dari suspek dan melihat mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dengan dipandu arah oleh suspek, dia menunjukkan dua lagi rakannya yang menunggu di dalam kereta. Jarak antara kedai serbaneka dari kereta adalah lebih kurang 50 meter,” katanya.

Shahurinain berkata, permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 19 hingga 22 tahun itu akan dilakukan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) di Mahkamah Majistret di sini, untuk siasatan lanjut.

"Suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan kes samun yang berlaku sehari sebelumnya yang melibatkan sebuah kedai serbaneka di Taman Century kira-kira jam 6.30 pagi.

"Suspek yang bersenjatakan pisau ketika itu menyamun wang perniagaan dari kedai serbaneka tersebut berjumlah RM400 sebelum bertindak melarikan wang,” katanya.

Menurutnya, dalam masa terdekat polis akan mengesan dua lelaki yang membantu menangkap suspek dalam kes cubaan samun berkenaan.