'Sweet Memories' rangkul juara World Chefs Championship 2024

Iklan
Chef Rizal (kanan) bersama Muhammad Helmi Hakim menunjukkan pingat yang dimenangi ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU - Gubahan coklat seberat 20 kilogram bertemakan telefon klasik hasil kreativiti chef sebuah hotel di sini berjaya merangkul juara sempena World Chefs Championship 2024 yang berlangsung di Johor baru-baru ini.

Rizal Md Dali, 43, berkata, gubahan coklat dinamakan 'Sweet Memories' itu disiapkan dalam tempoh seminggu di Hotel Paya Bunga di sini sebelum dibawa ke pertandingan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil gubahan itu menggunakan 70 peratus coklat gelap dan bakinya 30 peratus daripada coklat putih untuk memberikan rasa manis dan sedap yang seimbang.

Gubahan coklat digelar 'Sweet Memories' merangkul juara sempena World Chefs Championship 2024 yang berlangsung di Johor minggu lalu.

"Sebenarnya banyak cabaran yang saya lalui sepanjang menyertai kejohanan ini kerana coklat itu perlu disiapkan dalam masa seminggu sahaja berbanding sebulan berdasarkan jadual asal.

Iklan

"Cabaran seterusnya ialah coklat itu patah sebanyak tiga kali dan yang paling cemas sekali ketika gagang telefon patah ketika berada di lokasi pertandingan.

"Waktu itu baki masa hanya tinggal dua jam sahaja dan saya terpaksa menggunakan apa sahaja bahan yang ada untuk membaikinya.

Iklan

"Saya bersyukur sebab hasil pengalaman saya selama 15 tahun dalam bidang ini membolehkan saya membaiki kerosakan itu dan akhirnya dinobatkan sebagai juara," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Rizal merupakan antara lima chef Hotel Paya Bunga di sini yang mencipta sejarah cemerlang apabila mengungguli tujuh kategori dalam pertandingan tersebut.

Difahamkan, pengalaman bekerja selama 15 tahun di 10 buah hotel dan resort terkenal sebelum ini mengubah dirinya untuk tidak gentar setiap kali berdepan apa sahaja ujian atau kritikan terhadap masakannya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, tema telefon klasik dipilih kerana beliau mahu mengembalikan nostalgia zaman dahulu untuk tatapan generasi muda masa kini.

Sementara itu, seorang lagi chef iaitu Muhammad Helmi Hakim Yusof, 25 berjaya memenangi dua kategori iaitu laksa siam dan kari ikan.

Katanya, kemenangan itu menjadi pembakar semangat untuk beliau terus menghasilkan masakan yang berkualiti dan berkhasiat pada masa akan datang.

"Saya teruja dengan kemenangan kali pertama ini dan berazam untuk terus menimba ilmu dalam meningkatkan kemahiran sebagai seorang chef profesional," katanya.

World Chefs Championship 2024 yang merupakan acara tahunan anjuran Persatuan Jurumasak Malaysia (MCMA) disokong oleh Tourism Johor.

Acara itu berjaya menarik lebih 2,100 chef dari seluruh dunia seperti China, Hong Kong, Taiwan, Taipei dan Kanada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!