Idam gelaran Malaysia Masters hadiah perkahwinan

Iklan
Aksi Soon Huat (kiri)-Shevon ketika menentang Tang Jie-Ee Wei pada separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

PASANGAN beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengakui sekiranya berjaya meraih gelaran Malaysia Masters esok, ia akan menjadi hadiah perkahwinan terbaik selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada pusingan separuh akhir hari ini, beregu di ranking ke-18 dunia itu mudah menumpaskan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 21-11, 21-19 untuk membuat perhitungan dengan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia bagi menentukan gelaran juara.

Iklan
Iklan

Shevon berkata, kawalan emosi mantap ketika mata penting menjadi antara faktor kemenangan hari ini, selain pengalaman dimiliki mereka sebagai pasangan senior yang sudah bergandingan sejak 2016.

"Hari ini kami mengawal emosi dengan baik walaupun perjumpaan di Terbuka Switzerland 2024 (kami menang dan jadi juara) tapi ia sudah lepas dan esok walaupun rekod kami menentang lawan kami dari Indonesia adalah baik, namun esok hari baharu.

Iklan

".. dan (kalau menang) trofi ini, ia akan menjadi hadiah perkahwinan berharga sebab minggu lepas kita telah tersingkir di pusingan pertama Terbuka Thailand. Jadi berada di sini sebagai tuan rumah dan memenangi pertandingan seperti berbulan madu di Axiata Arena," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shevon merasa teruja untuk beraksi esok bersama suaminya selepas tidak pernah melangkah ke pentas akhir kejohanan di Malaysia.

Iklan

Soon Huat-Shevon baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei lalu.

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, Soon Huat-Shevon pernah menewaskan pasangan Indonesia itu sebanyak lima kali iaitu di Terbuka Singapura 2018, Terbuka Fuzhou China 2019, Terbuka Singapura 2019, Kejohanan Badminton Asia Dubai 2023 dan Terbuka Hong Kong 2023.

Sementara itu, seramai 27 pelajar termasuk 18 daripada Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP), iaitu program usaha sama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perodua hadir memberi sokongan buat pemain-pemain Malaysia yang berentap di Masters Malaysia 2024.

Program BTDP diperkenalkan pada 2018 bertujuan untuk mencungkil bakat di kalangan murid di peringkat sekolah rendah dengan misi supaya mereka dapat mewakili negara suatu hari nanti.

Ketika ini BTDP mempunyai 140 jurulatih yang telah melatih seramai 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!