JOHOR Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk meraih tiga mata berharga selepas membelasah Kuala Lumpur City (KL City) 5-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu.
Skuad Harimau Selatan itu bermula garang menerusi beberapa percubaan berbahaya dan menguasai keseluruhan perlawanan sepanjang aksi berlangsung.
Peluang JDT hadir seawal minit keempat menerusi percubaan pemain tengahnya, Nathaniel Shio Hong Wan yang berjaya diselamatkan penjaga gol KL City, Muhammad Azri Ghani.
Walaupun tidak mempunyai banyak peluang, KL City sesekali menguji gawang JDT melalui hantaran Giancarlo Gallifuoco yang disambar oleh Muhammad Haqimi Azim Rosli, namun Ahmad Syihan Hazmi lebih tangkas menyelamatkan keadaan.
Percubaan demi percubaan yang dilakukan JDT akhirnya berhasil selepas Fernando Forestieri membuka tirai jaringan yang turut menjadi gol pertamanya untuk musim ini pada minit ke-43.
Biarpun pada mulanya pengadil membatalkan gol tersebut kerana ofsaid, namun hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan Forestieri berada dalam kedudukan onsaid.
JDT terus garang menambah gol kali ini menerusi sepakan percuma cantik Juan Muniz pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Bagaimanapun, KL City berjaya merapatkan kedudukan selepas Haqimi ditarik oleh pemain JDT, Oscar Aribas dalam kotak penalti.
Paulo Josue tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Syihan untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum wisel penamat separuh masa ditiup.
Bersambung separuh masa kedua, JDT terus menggandakan asakan memaksa Azri bekerja keras menyelamatkan gawang golnya.
Forestieri berjaya menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-60 selepas menanduk kemas hantaran Matthew Davies.
Juan Muniz menambah derita KL City apabila meledak gol keempat JDT menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti pada minit ke-70.
Pemain gantian, Muhammad Syahmi Safari melengkap hari cemerlang JDT dengan gol kelima pasukan selepas tenang menyudahkan hantaran Juan Muniz.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!