BEREGU lelaki meningkat naik negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King terpaksa akur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Kim Astrup-Anders Skraarup Rasmussen dari Denmark pada separuh akhir Masters Malaysia 2024 hari ini.
Pada aksi di Axiata Arena itu, Wan Arif-Roy King ditewaskan pilihan kedua kejohanan itu menerusi permainan straight set 13-21, 19-21 dalam masa 43 minit.
Bagaimanapun, beregu di ranking ke-47 itu seharusnya berbangga apabila mereka melakar sensasi tersendiri pada kejohanan bertaraf Super 500 tersebut selepas menumpaskan beberapa pilihan kejohanan untuk menempah slot empat terbaik itu.
Roy King, 23, berkata, mereka kurang berpuas hati dengan persembahan sendiri apabila kerap melakukan kesilapan pada set kedua, namun enggan tenggelam dalam kesedihan untuk terus memberi fokus kepada kejohanan seterusnya dengan terdekat di Terbuka Australia 2024 pada 11-16 Jun ini.
Sementara itu, Wan Arif, 21, berharap mereka konsisten melakukan kejutan dengan menumpaskan beberapa nama besar, selain sentiasa bebas daripada kecederaan.
Beliau turut berharap mereka lebih berani dalam membuat keputusan ketika mata penting apabila berjumpa pasangan ranking lebih tinggi.
"Mahu sasaran separuh akhir dan kita mampu memberi saingan kepada kelompok 20 utama dunia dan standard itu tidak jauh. Tapi kita belajar daripada mereka bila mata penentuan macam mana nak kawal rentak,” katanya.
Pencapaian beregu negara itu boleh dibanggakan apabila melakar sensasi tersendiri apabila menumpaskan beregu China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, 21-16 dan 21-12 pada pusingan pertama.
Mereka seterusnya menunjukkan jalan keluar kepada pilihan keempat dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan, 13-21, 21-15, 21-18 pada pusingan kedua serta menewaskan pilihan keenam Rasmus Kjaer-Frederick Soogard dari Denmark, 21-18, 14-21 dan 21-18 pada saingan suku akhir semalam. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!