Lebih 600 ikan 'alien' ditangkap dalam tempoh 2 jam

Iklan
Adnan (kanan) menunjukkan saiz ikan bandaraya yang agak besar berjaya ditangkap di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Lebih 600 ekor ikan asing seberat 400 kilogram (kg) ditangkap dalam hanya tempoh dua jam di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil di sini pada Ahad.

Program berstruktur itu dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia dengan kerjasama Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya selain penglibatan agensi kerajaan, swasta, Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, tangkapan ikan menggunakan kaedah menjala itu mendapati 99 peratus merupakan ikan asing dengan majoritinya ikan bandaraya atau pleco dan tilapia.

Timbunan ikan bandaraya dan tilapia yang ditangkap dalam tempoh dua jam di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil, pada Ahad.

"Ada juga spesies asing lain yang ditangkap iaitu keli Afrika dan inilah antara spesies yang kuasai sungai kita.

Iklan

"Amat mengejutkan, situasi ini sangat membimbangkan kerana sepanjang dua jam itu, hanya dua ekor ikan spesies asli ditangkap iaitu ikan puyu," katanya kepada pemberita semasa Program Memburu Ikan Asing Bersama Komuniti di sini pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn Bhd, Daryl Foong.

Kaedah menjala digunakan bagi menangkap spesies ikan asing di Sungai Kuyoh, Kuala Lumpur pada Ahad.

Iklan

Tambah Adnan, pemburuan spesies invasif ini bertujuan bagi menyeimbangkan ekosistem bagi memastikan perairan sungai negara selamat untuk pelepasan spesies ikan asli.

Ikan bandaraya atau pleco yang ditangkap di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Ahad.

Katanya, hari ini (Ahad) ikan bandaraya paling besar ditangkap adalah berat lebih 1kg, manakala keli Afrika seberat lebih 4kg.

"Kalau tengok nisbah di Sungai Kuyoh hari ini sangat membimbangkan selain beberapa sungai di sekitar Lembah Klang.

"Ada juga laporan ancaman ikan asing iaitu baung ekor merah di Sungai Pahang dan Sungai Perak," ujarnya.

Sungai Kuyoh, Kuala Lumpur antara yang dilapor terjejas akibat ancaman ikan asing.

Justeru, kata Adnan, program memburu ikan asing sebegini juga akan diteruskan di Sungai Langat.

"Jabatan Perikanan DOF menyeru semua pihak untuk amalkan sikap tanggungjawab sama ada secara sedar atau tidak agar tidak melepaskan spesies 'alien' ini ke perairan negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!