SEGAMAT - Warga emas yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot di Sungai Palong, Kampung Balai Badang, Buloh Kasap di sini pada Jumaat ditemukan lemas pada Ahad.
Ketua Balai Bomba Penyelamat Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abdul Razak berkata, mayat, Poninan Panijo, 66, ditemukan pada jam 10.20 pagi.
"Mayatnya dijumpai kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dipercayai terjatuh. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui pemberita di kampung tersebut pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Polis Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah.
Pada Jumaat, isteri mangsa memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah sehingga jam 9 pagi Sabtu selepas menaiki bot ke sungai tersebut pada 4 petang Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas hilang dipercayai jatuh dari bot
Susulan itu operasi mencari dan menyelamat melibatkan 14 anggota dari BBP Bandar Segamat dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bandar Baru Segamat dilakukan mengambil masa kira-kira tiga hari sebelum mayat ditemukan pada Ahad.
Menurut rakan mangsa, warga emas berkenaan sebelum itu sempat menghantarkan ikan pulang ke rumah sebelum pergi semula ke sungai tersebut dan hilang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!