Murid teruja nikmati sarapan nasi goreng, Milo panas

Iklan
Sebahagian daripada 135 murid SK Datin Khadijah yang terpilih dalam PSP fasa pertama, hari ini.

KUALA KANGSAR - [DIKEMASKINI] Teruja dan berselera, itu antara gelagat yang ditunjukkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Datin Khadijah pada hari pertama pelaksanaan penambahbaikan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) fasa pertama 2020 hari ini.

Ada di antara mereka yang hadir ke sekolah seawal jam 6.30 pagi untuk menikmati sarapan pagi percuma di sekolah sempena program berkenaan.

Iklan
Iklan

Tinjauan mendapati, kesemua murid yang terpilih itu berselera menikmati makanan disediakan iaitu nasi goreng, Milo panas dan jambu batu.

Seorang murid, Meor Syahrul Anwar Meor Johari, 9, mengakui gembira apabila terpilih menyertai program itu.

Iklan

Menurutnya, dia pernah ke sekolah tanpa wang dan terpaksa meminjamnya daripada rakan untuk membeli makanan di kantin.

"Seronok dapat makan pagi dengan kawan di sekolah. Makanan pun sedap," katanya.

Iklan
Abdul Aziz (kanan) ketika meninjau pengambilan sarapan pagi percuma di SK Datin Khadijah hari ini.

Pengalaman sama turut dilalui Zahra Alesha Zulkifli, 11, yang tidak membawa duit belanja ke sekolah kerana kesempitan hidup.

"Bila tak ada duit belanja, saya makan apa yang ada saja tetapi ada harinya mak bekalkan nasi lemak," katanya.

Mereka antara 135 murid di SK Datin Khadijah menerima manfaat pelaksanaan RMT yang bertujuan memberi makanan tambahan berkhasiat kepada murid dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, terdapat 850 murid dari enam sekolah di Perak terlibat pada program berkenaan.

Katanya, sekolah lain ialah SK Suak Padi di Bota membabitkan 131 murid, SK Jenang di Sungkai (173) dan SK Seri Tanjung di Tanjung Rambutan (154) yang sebahagiannya murid kalangan orang asli.

"Turut terpilih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chui Chak di Langkap membabitkan 37 murid dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ayer Tawar seramai 220 murid,” katanya.

Beliau berkata, kesemua sekolah berkenaan dipilih berdasarkan peratusan tertinggi murid daripada golongan B40.

Jelasnya, sebelum penambahbaikan program RMT ini, sekitar 600 murid sahaja di Perak yang menerima manfaat makanan tambahan.

"Sudah tentu kita mengharapkan program ini diperluas agar lebih ramai murid khususnya dalam kalangan B40 di sekolah lain mendapat manfaat sama," katanya.

Terdahulu, Abdul Aziz meninjau perkembangan pelaksanaan RMT di SK Datin Khadijah yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan negeri, Aznan Alias.