Wujudkan kerangka kawal selia AI, elak salah guna

Iklan
CMCF saran kerajaan wujudkan satu kerangka kawal selia yang lebih holistik bagi AI di negara ini. Foto 123RF (Gambar kecil: Mediha)

BACHOK - [DIKEMAS KINI] Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) menyarankan kerajaan mewujudkan satu kerangka kawal selia yang lebih holistik bagi penggunaan bidang kecerdasan buatan (AI) dalam masyarakat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata, perkara itu mungkin juga merangkumi penggubalan undang-undang bagi mengekang teknologi terbabit disalah guna.

Iklan
Iklan

"Realitinya AI memang sudah lama wujud dan berkembang dengan pesat, namun cabaran besar dihadapi dalam menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi ini kerana belum ada peraturan yang spesifik untuk penggunaannya.

"Wajarlah diadakan satu kerangka kawal selia yang holistik melibatkan pelbagai pemegang taruh, kementerian-kementerian, agensi dan sebagainya untuk memastikan penggunaan AI adalah berlandaskan undang-undang, peraturan ataupun mengikut kod etika,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Program Wacana Kandungan: Teknologi AI dalam Kandungan Seni Visual di Malaysia 2024 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Ahad.

Mediha (depan, dua dari kanan) dan Muhammad Nasir (depan, empat dari kanan) bersama panel dan peserta Program Wacana Kandungan: Teknologi AI dalam Kandungan Seni Visual di Malaysia 2024 di UMK, Kota Bharu pada Ahad.

Iklan

Turut hadir merasmikan majlis itu ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) UMK, Prof Madya Dr Ahmad Azaini Abdul Manaf dan Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Mediha berkata, walaupun belum ada undang-undang yang khusus terbabit, peraturan seumpamanya serta relevan untuk diguna pakai sudah pun wujud.

Iklan

Ujar beliau, CMCF sendiri sudah mempunyai kod kandungan yang dikemas kini pada tahun 2022 dan menjadi tanggungjawab pihaknya untuk menghasilkan garis panduan tambahan seperti kepada golongan pempengaruh dan sebagainya.

"Contohnya ada undang-undang hak cipta dan etika dalam membuat kandungan yang boleh dijadikan dasar membentuk panduan lebih terperinci bagi penggunaan AI.

"Termasuk bagi pengkarya dan seniman, sangat penting untuk memastikan kandungan yang dihasilkan melalui AI adalah berintegriti,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia bagaimanapun dilihat berada di landasan yang betul dengan mengambil pendekatan seimbang untuk menangani penggunaan AI dalam seni visual.

Katanya, perkara itu juga perlu melibatkan soal moral dan tanggungjawab sosial pengguna.

"Sebabnya, bayangkan jika filem Seniman Agung Allahyarham P Ramlee digunakan melalui AI sewenang-wenangnya untuk tukar jadi kartun anime berbahasa Jerman, pasti tidak ramai yang akan boleh terima.

"Kreativiti yang selari dengan capaian teknologi ini memang harus digalakkan, tetapi pada masa sama perlu tingkat kesedaran bagi mengekang masalah AI yang mungkin disalahgunakan untuk menghasilkan kandungan yang memudaratkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!