Nafas peruntuk RM700,000 bantu pelajar daripada keluarga B40

Iklan
Abu Sujak (kanan) mengiringi Tze Tzin (dua dari kanan) menyerahkan baucar bernilai RM200 kepada pelajar sempena program Back To School di Dewan Persatuan Penduduk Bayan Baru, Pulau Pinang semalam.

BAYAN BARU - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membelanjakan sebanyak RM700,000 pada tahun lalu untuk program khidmat sosial masyarakat (CSR) melibatkan pemberian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Pengarah Pembangunan Peladang Nafas, Abu Sujak Sahuji berkata, jumlah itu melibatkan pemberian sumbangan di seluruh negara termasuk di Kedah, Melaka, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan menerusi program Back To School berbentuk baucar itu bertujuan membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk membeli kelengkapan sekolah.

"Kita telah pergi ke seluruh negara untuk menyalurkan sumbangan ini kepada pelajar daripada keluarga B40. Hari ini (semalam) seramai 250 pelajar di Parlimen Bayan Baru menerima sumbangan tersebut.

Iklan

"Setiap pelajar menerima baucar bernilai RM200 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000 menerusi program Back To School.

"Diharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban golongan B40 untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak,” katanya.

Iklan

Beliau bercakap pada sidang media selepas penyerahan sumbangan di Dewan Persatuan Penduduk Bayan Baru di sini semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin.

Pada majlis yang sama, seramai 150 penerima yang terdiri daripada warga emas dan golongan kurang upaya menerima sumbangan baucar bernilai RM100 sempena Tahun Baru Cina daripada Pejabat Ahli Parlimen Bayan Baru dan Pejabat ADUN Pantai Jerejak.

Dalam perkembangan lain, Tze Tzin memberi jaminan bekalan makanan berasaskan pertanian dan barangan kawalan mencukupi sehingga sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Menurutnya, kementerian telah menghentikan semua eksport untuk barangan kawalan sejak seminggu lalu bagi memastikan pasaran tempatan tidak mengalami kekurangan bekalan.

"Pengguna tidak perlu gusar, namun jika ada peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barang kawalan seperti ayam, daging, bawal putih, sayur-sayuran atau barang mentah yang lain, saya mohon agar mereka buat laporan supaya tindakan tegas dapat diambil.

"MOA turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan harga barangan kawalan tidak melambung tinggi dan dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata Tze Tzin.