Rakyat ingin tahu pakej bantuan bakal diterima hasil penjimatan subsidi - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin

SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci mengenai langkah-langkah yang akan diambil untuk menampan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan kos sara hidup rakyat, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup adalah satu kebimbangan yang berasas, susulan pengumuman penyelarasan semula subsidi diesel oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Lebih mengecewakan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak memberikan penjelasan secara terperinci bagaimana isu beban kos sara hidup rakyat akan ditangani secara tuntas oleh kerajaan akibat penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95.

"Tiada penjelasan terperinci bagaimana kerajaan akan membelanjakan hasil penjimatan subsidi sebanyak RM4 bilion. Berapa banyak nilai bantuan yang akan dinaikkan untuk manfaat rakyat? Siapa yang akan menerimanya? Ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri.

Iklan

"Rakyat ingin tahu apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil penjimatan subsidi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan Selasa lepas, Anwar berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Iklan

Penyasaran subsidi bahan api itu hanya akan melibatkan Semenanjung Malaysia. Sabah dan Sarawak dikecualikan buat masa ini.

Subsidi diesel akan terus diberikan kepada perniagaan yang menggunakan kenderaan komersial diesel membabitkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Muhyiddin berkata, jumlah pengguna kenderaan bermotor diesel yang akan menerima bantuan serta nilai bantuan juga tidak dijelaskan dengan terperinci.

"Bagaimana pula dengan kesan penarikan balik subsidi diesel dan RON 95 ke atas seluruh rantaian bekalan? Apakah langkah-langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya?

"Hal ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri," katanya.

Tambah beliau lagi, kadar pertumbuhan ekonomi, nilai pelaburan dan inflasi yang dinyatakan Anwar juga tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat kerana rata-rata masih mengeluh mengenai kesukaran yang terpaksa mereka hadapi akibat kenaikan kos sara hidup.

Kerana itu, ketika berucap di Parlimen Mac lalu, beliau sudah mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi, khususnya subsidi diesel dan petrol.

"Apatah lagi kerajaan baru sahaja melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik pada Januari 2024, cukai barang bernilai rendah pada Januari 2024, kenaikan tarif air pada Februari 2024 dan kenaikan cukai SST pada Mac 2024.

"Semua ini ibarat beban bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat pada satu masa. Apabila subsidi diesel dan kemudiannya RON 95 ditarik balik, kesannya akan menjadi lebih teruk," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!