KOTA BHARU - Teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu membawa lebih banyak impak positif kepada industri media jika dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, perkembangan teknologi tersebut juga boleh memberi nilai tambah kepada kebolehan dan kemahiran tradisional yang sedia ada dalam kalangan pengamal media itu sendiri.
"Kalau nak kata, AI ini ‘membunuh’ pun boleh, membantu pun boleh tetapi bagi pengamal media perlu untuk mereka memantapkan kemahiran seiring dengan perkembangan teknologi supaya terus relevan dalam pasaran.
"Saya percaya, kita tidak akan bergantung sepenuhnya kepada AI kerana dalam masa sama penggunaan teknologi ini masih lagi memerlukan ‘sentuhan manusia’ yang membolehkan pengamal-pengamal media kekal wujud dan diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bicara Tokoh Keusahawanan Kreatif, Pameran Karya Seni Generatif AI di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Ahad.
Muhammad Nasir menjelaskan, kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dalam memberi kebebasan kepada pihak media untuk melaporkan berita-berita sahih demi kebaikan masyarakat dan mengelak daripada penyalahgunaan AI.
"Kalau kebebasan akhbar itu disekat maka orang akan pergi kepada teknologi ini atau mungkin salah guna AI untuk mendapatkan kebebasan berkarya.
"Bagaimanapun saya yakin, walaupun AI berkembang pesat di negara ini, pengamal media tetap diperlukan kerana mereka ini yang akan turun sendiri di lapangan demi mendapatkan sebuah kesahihan dan keabsahan sesuatu berita.
"Kami pengamal-pengamal media ada etika dan garis panduan dalam mencari serta mengkaji sesebuah maklumat selain memastikan berita itu sahih sebelum disajikan kepada umum,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji usaha kerajaan antaranya Kementerian Pendidikan yang akan memberi tumpuan terhadap kompetensi dan latihan buat guru-guru di negara ini untuk mendidik murid khususnya dalam bidang AI.
"Langkah yang bagus supaya anak-anak mendapat pendidikan yang baik berkait teknologi terkini dan menjadikan sistem pendidikan tidak ketinggalan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Creative Accelerator Center (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, dari segi etika penggunaan AI di universiti itu pula, ia mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menurut beliau, perkara terbabit menjadi isu besar kerana teknologi AI terlalu pantas berkembang dan boleh disalah guna.
"Saya bagi analogi ibarat pisau, boleh potong ayam, daging dan dalam masa sama boleh juga bunuh orang.
"Begitu juga AI, sekiranya etika dan integriti tidak dijaga, maka boleh disalah guna membuat berita palsu kerana terlalu mudah digunakan, sekejap saja, dalam masa tiga saat dah siap tukar muka orang, itu yang boleh jadi fitnah.
"Di UMK, kami galakkan pelajar menggunakan teknologi AI dari segi ubahan atau proses tetapi bukan sebagai satu platform untuk mempercepatkan atau memudahkan pelajar sehingga skip semua proses pembelajaran seperti menyiapkan tesis atau projek sepenuhnya menggunakan AI, itu salah dari segi etika,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!