KERAJAAN Perpaduan yang terbentuk selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022 kini semakin stabil tanpa sebarang pergolakan politik serius atau cubaan ‘tebuk atap’.
Memperkenalkan konsep Madani, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti lain serta ahli Parlimen Bebas dilihat tidak berdepan masalah melaksanakan agenda reformasi.
Istilah keramat itu dilaung-laungkan penyokong dan pemimpin PH terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika menjadi pembangkang satu ketika dahulu dengan menawarkan beberapa janji ke arah pembaharuan melibatkan ekonomi, politik dan masyarakat berbilang kaum.
Tambahan pula kerajaan pimpinan Presiden PKR mempunyai kekuatan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang membolehkan penggubalan mana-mana rang undang-undang (RUU) berpeluang cerah untuk diluluskan.
Justeru, desakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) supaya kerajaan segera berbuat demikian adalah tepat dan selari dengan kestabilan negara ketika ini yang memberi ruang besar kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengotakan janji tersebut.
Antaranya, reformasi institusi termasuk pelantikan pengerusi dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pilihan Raya supaya proses tersebut dapat diteliti secara inklusif dan demokratik oleh ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Kerajaan juga diminta mempercepatkan reformasi institusi dengan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya atau sekurang-kurangnya ada perancangan berbuat demikian sepertimana Akta Parlimen yang sedang digerakkan.
Namun tidak semua mampu dilakukan sekelip mata atau dalam masa singkat kerana banyak aspek menjadi perhitungan agar sebarang pembaharuan dapat direalisasikan mengikut matlamat sebenar demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Rakyat memahami sekiranya kerajaan memerlukan sedikit masa lagi, namun tertunggu-tunggu sama ada ia berjaya dilaksanakan atau sekadar kata-kata manis dan jaminan mulut.
Di sebalik desakan tersebut, terdapat pihak yang berpandangan bahawa ia bukan keperluan mendesak kerana tidak akan menjejaskan sokongan kerajaan memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengekalkan Anwar selaku Perdana Menteri untuk penggal kedua.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!