KEDAH Darul Aman (KDA) FC akan memanfaatkan tempoh rehat Liga Super 2024-2025 untuk memperbaiki semua kelemahan di semua bahagian selepas menghadapi tiga perlawanan liga super.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Shamsudin berkata, barisan kejurulatihan akan memberikan perhatian kepada perkara tersebut sebelum menentang kelab Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC pada saingan pusingan 16 Piala FA 2024, 14 Jun ini.
Menurutnya, secara keseluruhan Sang Kenari beraksi baik pada ketiga-tiga perlawanan namun beberapa peluang terhidang gagal diterjemahkan kepada bentuk jaringan.
"Sebenarnya pada tiga perlawanan ini kita berpuas hati cuma mungkin kedudukan sekarang kita berada di bawah tanpa sebarang mata. Kita tengok prestasi dengan pasukan lain tidak jauh beza.
"Cuma aksi dengan Selangor FC kita kurang bernasib baik bolos pada penghujung perlawanan dan sama juga sama dengan perlawanan dengan Perak FC, kerana berdasarkan statistik kita mendominasi tetapi kita ditembusi lawan dengan dua tiga gerakan sahaja,” katanya mengulas tiga aksi liga super KDA FC pada musim ini.
Jelasnya, keputusan menang 0-1 ke atas PDRM FC pada aksi pertama sebelum tewas 1-0 kepada Selangor FC dan 0-2 kepada Perak FC akan diperhalusi kembali oleh Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain.
Menurutnya lagi, ketua jurulatih akan melihat dan menganalisis secara keseluruhan ketiga-tiga perlawanan ini melalui rakaman video berkenaan terutamanya melibatkan dua perlawanan yang tewas itu.
"Dalam hal ini, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada jentera serangan tapi semua bahagian penting kerana bergerak sebagai satu pasukan,” ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!