BAYAN LEPAS - Orang ramai terutama golongan muda yang masih mencari pekerjaan disarankan menceburi bidang pertanian kerana ia mampu memberikan pendapatan yang tinggi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Sim Tze Tzin berkata, kementerian sentiasa membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk terlibat dalam bidang pertanian.
Menurutnya, permintaan produk pertanian dari Malaysia oleh negara luar amat tinggi dan ia adalah peluang kepada rakyat terutama agropreneur muda untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian.
"MOA sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan. Kita menerima bajet sebanyak RM4.9 bilion untuk tahun ini berbanding sebanyak RM4.4 bilion pada 2018 yang menunjukkan peningkatan sebanyak 10.9 peratus.
"Ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan yang bukan sahaja mendengar keluh-kesah golongan petani tetapi juga menyediakan peluang yang terbuka luas dalam sektor pertanian,” katanya ketika berucap pada Program Taklimat Peluang Usahawan Pertanian oleh MOA di Kompleks Tabung Haji di sini kelmarin.
Beliau berkata, Malaysia mengimport produk pertanian dari luar sebanyak RM50 bilion setahun untuk pasaran dan keperluan negara seperti produk daging, tenusu, sayur-sayuran serta buah-buahan, sedangkan keperluan itu boleh dijana dalam negara.
"Inilah ruang dan peluang yang boleh direbut oleh masyarakat terutama agropreneur muda yang mencari pekerjaan dan pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Tze Tzin berkata, pasaran eksport pertanian seperti nanas MD2 dan durian musang king adalah antara produk pertanian yang mendapat permintaan tinggi di China.
"Negara China memerlukan sebanyak 1.6 juta tan metrik nanas tetapi sehingga 2019, Malaysia hanya mampu mengeksport sebanyak 800 tan metrik nanas.
"Kita juga mula menghantar nanas menggunakan pesawat kargo pada November 2019. Sebelum ini kita mengeksport nanas menggunakan kapal laut.
"lni menunjukkan permintaan negara luar terhadap produk pertanian kita begitu tinggi yang memerlukan proses penghantaran dibuat dengan segera. Jadi, inilah masanya rakyat kita perlu merebut peluang ini dengan melibatkan diri dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata, MOA juga sedang memberi tumpuan kepada program bantuan Rezeki Tani bagi membantu golongan miskin keluar daripada kepompong kemiskinan dengan cara melibatkan diri dalam bidang pertanian dan industri asas tani.
"Inilah antara usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan bagi membantu rakyat mendapat kehidupan yang lebih baik,” katanya.