Bolehkah dijarakkan, diasingkan kubur sebagai peringatan?

Iklan
MENJARAKKAN kubur ada disebut dalam fatwa-fatwa ulama sebagai peringatan kepada umat Islam lain agar tidak melakukan perkara sama. Gambar hiasan/Foto CANVA

BARU-BARU ini suatu perkhabaran yang menyedihkan buat negara apabila dua orang anggota polis yang sedang bertugas maut dan seorang lagi anggota cedera parah selepas diserang oleh seorang lelaki.

Bagaimanapun suspek tersebut berjaya ditembak mati oleh anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Selepas kejadian tersebut, mayat suspek yang melakukan kejadian bunuh tersebut kemudiannya ditanam jauh dari kubur umat Islam yang lain dan ini menimbulkan persoalan orang ramai mengenainya.

Apakah ia dibolehkan dalam Islam? Apakah ada contoh daripada Nabi Muhammad SAW dalam hal ini?

Iklan

Merungkai persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, arahan untuk mengasingkan kubur suspek serangan tersebut dibolehkan atas pertimbangan pemerintah yang tertakluk kepada maslahat.

"(Ia adalah) sebagai peringatan kepada orang lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.

Iklan

Serang dengan senjata dosa besar

Mengulas mengenai hukum menyerang orang lain dengan senjata, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan ia dikira sebagai perbuatan hirabah yang merupakan dosa besar dan boleh dikenakan hudud.

PERBUATAN membunuh atau hirabah merupakan antara dosa yang paling besar yang layak menerima penghinaan di dunia dan azab di akhirat. Foto CANVA

"Ia berdasarkan firman ALLAH SWT dalam ayat ke-33, Surah al-Maidah:

"Sesungguhnya (balasan) bagi orang-orang yang memerangi ALLAH dan rasul-NYA serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas) atau disalib (kalau mereka membunuh dan merampas) atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang (kalau mereka merampas sahaja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.”

Tambahnya lagi, berkaitan isu ini, perbuatan mengasingkan kubur suspek serangan bersenjata sebagai peringatan kepada masyarakat, tidak ada disebut secara khusus oleh para ulama.

"Namun ia boleh disamakan dengan fatwa pengasingan kubur orang yang meninggalkan solat seperti yang disebut oleh Al-Allamah Abdul Rahman bin Muhammad al-Masyhur.

"Menurut beliau:"Bahkan (orang yang meninggalkan solat) sepatutnya dikebumikan di tempat yang jauh daripada Muslimin dan tempat itu dinamakan perkuburan orang-orang fasiq seperti yang disebut oleh al-Qutb al-Sayyid Ahmad bin Sumait.”

"Ia juga boleh dikaitkan dengan contoh yang berlaku pada zaman Nabi SAW di mana Nabi SAW tidak menunaikan solat jenazah ke atas orang yang membunuh diri,” hurainya.

Ia berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Samurah r.a, beliau berkata:

"Nabi SAW didatangkan dengan jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan busur panah, maka kemudian nabi tidak menyembahyangkannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pengasingan atas dasar pertimbangan, kebijaksanaan pemerintah

Oleh yang demikian, tindakan pengasingan tersebut dibolehkan dan ia dilakukan atas dasar pertimbangan dan kebijaksanaan pemerintah yang mestilah tertakluk maslahat masyarakat.

JAGALAH adab-adab ketika menziarahi kubur kerana kubur mengingatkan kita kepada kematian yang bakal ditempuh semua insan. Foto Pexels

"Dalam kes ini khususnya, tindakan tersebut menjadi peringatan kepada masyarakat awam agar perbuatan tersebut tidak berulang sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

"Apatah lagi jika yang diserang itu merupakan anggota keselamatan yang bertugas menjaga keamanan negara.

"Tambahan pula, tidak ada larangan yang khusus oleh ulama ke atas tindakan tersebut, bahkan Imam al-Nawawi mengharuskan untuk seseorang itu dikebumikan di tempat yang bukan tanah perkuburan,” hurainya panjang.

Perkara sama disampaikan pendakwah, Ustaz Azhar Idrus melalui rakaman video soal jawab agama yang disiarkan dalam akaun YouTube miliknya.

Menurutnya ketika menjawab soalan yang sama beliau berkata, perlu melihat pada ijtihad dan apa tujuan ia (menjarakkan kubur) dilaksanakan.

USTAZ AZHAR IDRUS

"Benda ini (perkara) biasa. Cuma kita netizen yang tidak tahu. Kalau (perbuatan menjarakkan) sengaja nak mengaibkan, itu tidak boleh,” katanya.

Ustaz Azhar turut membawakan sirah Nabi Muhammad SAW yang mana Baginda tidak melakukan solat jenazah atas mayat yang ada hutang.

"Nabi tidak solat jenazah tapi membenarkan para sahabat solat jenazah supaya orang yang masih hidup insaf dan jangan melakukan perkara yang sama dengan perbuatan jenazah itu,” jelasnya.