KAMPAR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris kepada bayi perempuan yang ditinggalkan dalam kotak di tepi jalan berhampiran Gua Tempurung dekat Gopeng pada 12 Mei lalu.
Pegawai JKM Daerah Kampar, Rashidah Abdullah berkata, bayi berusia tidak sampai sebulan itu telah menerima rawatan selengkapnya dan kini berada dalam sihat di bawah jagaan JKM.
"Perintah di bawah Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diperoleh dari Mahkamah Majistret Kampar hari ini.
"Bayi ini akan ditempatkan di tempat selamat. Pihak kami sedang mencari waris dan info berkaitan bagi melengkapkan proses dokumentasi," katanya di sini pada Isnin.
Rashidah berkata, pihak berkaitan diminta tampil atau menghubungi Pegawai Pelindung JKM Daerah Kampar di talian 05-4653133 bagi membantu menyalurkan maklumat berkaitan bayi tersebut.
Media melaporkan bayi perempuan cukup sifat baru dilahirkan itu ditemui berbalut dengan kain batik dalam kotak sekitar jam 3.15 petang.
Bayi malang itu dipercayai baru ditinggalkan di kawasan berkenaan kurang 12 jam sebelum ditemui oleh dua pekerja yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melihat lembu peliharaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!