KUCHING - Semua pertubuhan dan pengamal media mesti mula bergerak pantas seiring dengan ledakan kepesatan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (Al) atau menanggung risiko ‘tersungkur’, angkara pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pensyarah London School of Economics and Political Science, United Kingdom, Prof Charlie Beckett berkata, Al telah wujud sejak sekian lama, dan sudah ada ‘tangan-tangan jahat' yang mengendalikan teknologi itu bagi tujuan haram seperti menipu atau mencipta kandungan palsu.
"Mereka (yang jahat) sudah menggunakan teknologi ini, jadi kita tidak mempunyai pilihan. Jika anda fikir anda boleh melakukan kewartawanan yang baik atau mencipta maklumat yang boleh dipercayai, anda mesti turut masuk bersaing dengan mereka.
"Jadi kita perlu menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab, dan kita perlu melakukannya sekarang. Tangan-tangan jahat sentiasa mencari cara baharu untuk menggunakan teknologi dengan cara jenayah atau cara buruk, yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar sesi syarahannya pada Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 dengan tajuk 'AI untuk Kebaikan: Bagaimana AI Boleh Membantu Kewartawanan dan Media, dan Contoh Kehidupan Sebenar Aplikasi AI dalam Kewartawanan' di sini pada Isnin.
Persidangan dua hari dengan tema 'Evolusi Media dalam Era Digital' bermula semalam itu melibatkan penyertaan kira-kira 600 peserta tempatan dan antarabangsa.
SMeC 2024 diadakan sempena Hari Wartawan Negara (Hawana) 2024 yang berlangsung selama tiga hari mulai Sabtu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Beckett berkata, Al adalah teknologi yang dicipta dan digunakan oleh manusia, jadi manusia sendiri boleh memutuskan sama ada untuk menjadi wartawan bertanggungjawab yang menggunakan teknologi untuk mewujudkan informasi yang mengujakan dan boleh diakses, atau orang ramai menggunakan ia bagi tujuan menyebar maklumat palsu.
"... yang penting adalah untuk fikirkan tentang tanggungjawab anda, bukan hanya mengenai teknologi. AI ini boleh diakses oleh semua, sesiapa sahaja boleh mula menggunakan teknologi ini dengan pantas, dan ini sendiri adalah berbahaya.
".. kewartawanan (menghasilkan) tajuk-tajuk penting seperti pandemik atau krisis nasional, mungkin yang berkaitan dengan kewangan atau bursa saham.. itu maklumat penting, jadi saya rasa adalah penting bagi wartawan menggunakan teknologi ini dengan bertanggungjawab,” katanya.
Kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pengamal media dari Malaysia dan 12 negara luar berhimpun di Kuching sejak Sabtu untuk Hawana 2024, yang diadakan buat pertama kali di Bumi Kenyalang ini.
Mereka merupakan wartawan, wakil organisasi dan kelab-kelab media dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait.
Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak, dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan agensi pelaksana. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!