RM1 juta untuk Pusat Kecemerlangan Bernama anjur kursus berkaitan AI

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada acara kemuncak sambutan Hawana 2024 pada Isnin. Foto Bernama

KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menganjurkan kursus dan latihan berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk para pengamal media.

Beliau berkata, peruntukan itu selaras dengan seruan agar warga media turut sama mendalami dan menguasai penggunaan teknologi termask AI ketika menjalankan tugasan mereka.

Iklan
Iklan

"Kita minta Bernama bantu selaraskan beberapa kegiatan, sekarang ini Pusat Kecemerlangan Bernama diminta supaya menambah kursus, latihan terutama dalam bidang teknologi AI untuk pengamal media, kita luluskan RM1 juta untuk maksud itu,” katanya ketika berucap di majlis kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di sini.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Pusat Kecemerlangan Bernama bertanggungjawab menyediakan program latihan yang berkaitan dengan kakitangannya dan juga agensi-agensi kerajaan mahupun syarikat korporat, selain turut menguruskan permohonan penuntut institut pengajian tinggi bagi menjalankan latihan industri di organisasi itu.

Iklan

Keseriusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem AI dapat dilihat melalui pelbagai inisiatif seperti 'AI Untuk Rakyat' yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang teknologi itu dan AI Sandbox 2024 yang menyasarkan penubuhan 900 syarikat pemula AI dan 13,000 bakat baharu menjelang 2026.

Sebelum ini, Perdana Menteri turut melancarkan tiga lagi inisiatif iaitu Hala Tuju Bakat AI Malaysia 2024-2030, Fakulti AI (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Konsortium AI Malaysia (MAIC).

Sambutan Hawana adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi tahun ini berlangsung di Sarawak, mengangkat tema 'Etika Teras Kewartawanan Mapan'.

Wakil persatuan, kelab media dan wartawan yang hadir adalah dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait, yang telah berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu lepas.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!