KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin memerintahkan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berkaitan pertuduhan menghasut yang dihadapinya.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan, untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah larangan bersuara (mengeluarkan kenyataan) itu.
"Perintah larangan bersuara yang dipohon pihak pendakwaan adalah dibenarkan setakat responden (Wan Muhammad Azri) tidak membuat sebarang komen atau hantaran berkaitan dengan pertuduhan sehingga kes ini selesai,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, perintah larangan itu penting bagi menghalang kekecohan berlaku, akibat komen yang dikeluarkan menyentuh mengenai pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
"Sebelum keadaan kecoh, kami membuat permohonan larangan bersuara kerana pihak yang terlibat dalam kes ini ialah Yang di-Pertuan Agong dan baginda tidak membuat sebarang komen dalam media sosial,” katanya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Wan Muhammad Azri memohon agar semakan itu ditolak, kerana permohonan tersebut tidak menyatakan butiran terperinci berhubung kesannya kepada ketenteraman awam jika larangan bersuara tidak dikenakan terhadap anak guamnya.
Pada 2 Mei, Wan Muhammad Azri, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di laman Twitter atau X miliknya.
Bekas Exco Pemuda UMNO itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada jam 12 tengah hari, 29 April.
Pertuduhan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!