Insiden SIA: 8 daripada 16 rakyat Malaysia sudah pulang ke tanah air

Iklan
Tujuh rakyat Malaysia, masing-masing dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan Hospital Samitivej Sukhumvit sudah dipindahkan ke wad biasa. Foto AFP

SHANGHAI - Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin mengesahkan lapan daripada 16 penumpang rakyat Malaysia yang menaiki penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) sudah kembali ke tanah air, setakat Isnin.

Beliau berkata, seorang penumpang yang cedera dalam insiden gelora udara ekstrem itu sudah dibenarkan keluar hospital dan menunggu proses dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Tujuh lagi rakyat Malaysia, masing-masing dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan di Hospital Samitivej Sukhumvit sudah dipindahkan ke wad biasa dan berada dalam keadaan stabil.

"Seorang lagi rakyat Malaysia yang juga kru pesawat SQ321 SIA dan turut terjejas dalam insiden berkenaan akan melakukan penerbangan ke Singapura, hari ini,” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Iklan

Mohamad berkata, Kementerian Luar melalui Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) di Bangkok akan terus memantau perkara itu dan sedang berusaha membantu semua mangsa terlibat terutama bagi mempermudah urusan pulang ke tanah air.

Sebelum ini, dilaporkan pesawat SIA penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila mengalami gelora udara ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam sejurus berlepas, pada 21 Mei lepas.

Iklan

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER itu ke Bangkok dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada 3.45 petang waktu tempatan.

Seorang penumpang maut dan ramai lagi cedera dalam insiden itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kementerian belum menerima sebarang maklum balas mengenai jemaah dari Malaysia diarah meninggalkan Makkah, Arab Saudi susulan tidak memiliki dokumen lengkap mahupun visa haji.

"Malawakil di Riyadh dan Jeddah sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan, terutama Lembaga Tabung Haji. Kita sentiasa bersedia memberikan bantuan konsular bagi mempermudah pergerakan jemaah Malaysia jika berlaku sebarang perkara luar jangka," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!