LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Pakatan Harapan (PH) tidak akan menjadi kerajaan sepenggal seperti yang dicanangkan sesetengah pihak sebelum ini.
Menurutnya, kekalahan PH pada beberapa pilihan raya kecil sebelum ini tidak boleh dijadikan penanda aras kepada peralihan sokongan rakyat untuk pilihan raya yang besar.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun katanya, jika rakyat masih mahu memilih individu yang dilabelkan pencuri duit rakyat sebagai pemimpin, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah.
"Jika mereka nak orang ini balik selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), pilihlah tetapi jangan harap PH akan mengambil alih semula selepas itu," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Projek Demonstrasi 5G di 5G Command Centre Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi hari ini.
Dr Mahathir berkata, kerajaan baharu menghadapi pelbagai masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan lalu.
"Keadaan sekarang tidak sama seperti tahun 1981 di mana apabila berlaku peralihan kuasa semuanya masih berjalan lancar.
"Berbeza sekarang, kita perlu membersihkan pentadbiran sedia ada, wang yang banyak juga diperlukan untuk membayar hutang yang ditinggalkan," katanya.