SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penamat penentuan masa depan tetapi ia merupakan titik perubahan bagi setiap individu sama ada mengambil keputusan untuk melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi atau sebaliknya.
Ada yang sudah berfikir mahu melanjutkan pelajaran, ada juga berhasrat untuk sertai kursus kemahiran sahaja, namun perlu diingatkan bahawa setiap keputusan seharusnya dilakukan dengan rapi.
Dalam kehidupan ini sebenarnya ada banyak titik perubahan yang boleh memberi peluang baharu dan ia memainkan peranan yang sangat penting dan besar dalam menentukan hala tuju hidup.
Pada Isnin, keputusan SPM 2023 diumumkan dan 11,713 daripada 373,525 calon berjaya meraih hasil yang cemerlang iaitu gred A, A serta A- dalam semua mata pelajaran menjadi topik utama di dada akhbar.
Banyak berita gembira, sedih dan mengujakan boleh dilihat menerusi siaran akhbar tempatan seluruh negara.
Di media sosial turut dipenuhi dengan ucapan tahniah kepada mereka yang berjaya dan tidak kurang juga dengan ucapan jangan putus asa untuk mereka yang kurang berjaya.
Apa sahaja keputusan yang diperoleh sama ada cemerlang atau sebaliknya, ia perlu dijadikan sebagai titik tolak hala tuju masa hadapan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga akan mengenal pasti calon yang tercicir atau tidak hadir sewaktu peperiksaan SPM 2023 untuk memberi peluang kepada mereka mendaftar bagi peperiksaan ulangan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kehadiran calon menduduki peperiksaan mencatatkan 373,525 orang iaitu 97.4 peratus, namun pihaknya tetap mengambil perhatian berkenaan pelajar yang tercicir.
Situasi ini menunjukkan bahawa kerajaan sangat peka dan berusaha untuk memperbaiki masa depan calon, banyak ruang serta peluang diberikan tetapi semuanya bergantung terhadap keputusan individu itu sendiri.
Tidak ketinggalan, calon peperiksaan SPM 2023 dinasihat agar merancang masa depan sebaiknya dengan mengemaskini segera sistem Unit Pusat Universiti (UPU) dengan memilih kursus pengajian yang bersesuaian.
Perancangan rapi berkait masa depan perlu dilakukan dengan rapi dan teliti kerana ia menentukan siapa anda di kemudian hari.
Calon boleh mendapatkan nasihat daripada individu atau pakar yang mahir untuk memberikan pandangan dan nasihat mengenai perancangan masa depan.
Kesimpulannya, SPM bukan segala-galanya, yang penting anda harus sentiasa buat pilihan yang betul dalam hidup agar ia menjadi titik perubahan positif dalam hidup.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!