SALAH satu acara yang menjadi tumpuan ramai di ibu negara pada minggu ini sudah tentulah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Setiap tahun penganjurannya pasti mencuri tumpuan para ulat buku yang tidak melepaskan peluang untuk ‘memburu’ pelbagai naskhah bacaan yang dijual, selain pelbagai aktiviti menarik disediakan penganjur.
Kalau nasib baik, ada antara buku dijual dengan harga jauh lebih murah.
Ketika ramai yang berpandangan sambutan buku fizikal sebagai bahan bacaan utama pada zaman ini semakin suram, PBAKL 2024 menunjukkan sebaliknya, malah lebih mengejutkan ia mendapat sambutan generasi muda yang dilabelkan sebagai generasi malas membaca.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron mendedahkan, lebih 70 peratus pengunjung terdiri daripada golongan muda dan ia merupakan satu perkembangan positif.
Selain majoriti pengunjung terdiri daripada orang muda, difahamkan 60 peratus daripada pempamer keseluruhan juga adalah daripada peringkat umur berkenaan.
Tentunya ramai daripada kita skeptikal dengan perkembangan ini, tetapi kita perlu mengambil cakna bahawa proses pengembangan ilmu di negara ini sebenarnya terus subur.
Menurut kata Mohd Khair, berdasarkan kepada perkara itu, pihaknya yakin masa depan industri buku di negara ini terus berkembang ke arah yang positif.
Berbalik kepada penganjuran PBAKL 2024, jelas menunjukkan sikap masyarakat kita yang gemar meraikan inisiatif ilmu yang dilaksanakan saban tahun.
Ia merupakan khabar gembira kepada kita bahawa betapa masa depan industri buku yang selama ini menjadi kebimbangan segelintir penggemar bahan ilmiah fizikal, berkembang ke arah yang positif,
Ketika tidak banyak lagi kedai buku yang tinggal seperti tahun 1980-an dan 1990-an dulu, indeks literasi negara pada ketika ini berada pada kadar 95 peratus dan antara tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Kelestarian industri ini dijangka dapat diperkukuhkan sekiranya pesta buku bertaraf antarabangsa seperti PBAKL 2024 diperluaskan ke negeri atau lokasi lain di seluruh negara.
Secara tidak langsung memberi ruang kepada pencinta buku menambah ilmu dan mendapatkan bahan ilmiah terbaik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!