SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) digesa membuat pemantauan secara lebih kerap untuk menangani isi kandungan video tidak bermoral di media sosial.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, tindakan tidak bermoral itu dapat dicegah supaya keharmonian atau kemarahan masyarakat dapat dikawal.
"Kandungan yang membabitkan sensitiviti agama atau bangsa ini boleh menimbulkan kekecohan yang tidak perlu oleh semua pihak.
"Kita sepatutnya bertanggungjawab dengan tindakan yang kita sendiri sudah lakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, seorang pempengaruh TikTok dikecam hebat apabila tular video dia dan rakannya melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan Islam seakan-akan mempersendakan agama hingga menuai kritikan warga maya.
Video berdurasi 38 saat itu memaparkan dua gadis sedang berjalan-jalan di kawasan perkuburan dan difahamkan dengan sengaja ingin mencuba memanggil roh dari alam ghaib.
Sementara itu, Zairudin turut mencadangkan untuk pihak autoriti agama untuk memberi penerangan, usaha pencegahan dan literasi kesedaran kepada pempengaruh yang melakukan perbuatan tidak masuk akal untuk kandungan.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Mufti boleh memainkan peranan mereka menerusi kandungan video yang boleh mendidik pengguna media sosial lain.
"Mereka juga perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku yang tidak bertanggungjawab itu bagi mengelakkan perkara sama berulang lagi.
"Hukuman berat boleh dikenakan bagi memberi kesedaran kepada pelaku dan dijadikan iktibar kepada pihak lain,” jelasnya.