BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui tindakan tenteranya adalah satu kesilapan selepas rejim Zionis itu melakukan serangan udara di Rafah, selatan Gaza yang mengorbankan puluhan nyawa rakyat Palestin.
Bercakap kepada anggota Parlimennya, Netanyahu berkata, serangan itu tidak bertujuan untuk menyebabkan kematian terhadap orang awam dan perkara itu akan disiasat.
Katanya, Israel telah memindahkan kira-kira 1 juta penduduk Palestin yang disahkan tiada kaitan dengan Hamas.
"Di Rafah kami sudah memindahkan kira-kira satu juta penduduk bukan Hamas, walaupun kami berusaha sedaya upaya untuk tidak mencederakan orang ramai, malangnya kesilapan tragis telah berlaku.
"Kami sedang menyiasat insiden ini dan akan membuat kesimpulan kerana ini adalah dasar kami,” katanya.
Kenyataan Netanyahu itu mendapat respon tidak puas hati daripada beberapa anggota Parlimen Israel yang menjerit ke arahnya.
Bagi meredakan jeritan di Parlimen, Netanyahu berjanji untuk membawa balik semua tebusan Israel yang ditahan Hamas pada serangan 7 Oktober.
Sekurang-kurangnya 40 orang awam maut dan ramai yang lain cedera kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat pengeboman Israel ke atas khemah-khemah perlindungan mereka yang hilang tempat tinggal di barat laut Rafah, selatan Gaza, lapor agensi berita dan penerangan Palestin (WAFA).
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mereka yang berada di dalam khemah ketika pengeboman terbakar hidup-hidup. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!