Kerajaan perkenal dimensi baharu terbitan sukuk melalui struktur 'wakalah bil-khadamat’

Iklan
Anwar menyampaikan ucaptama semasa Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memperkenalkan dimensi baharu untuk terbitan sukuknya melalui struktur 'wakalah bil-khadamat’, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh ekosistem pelaburan di negara ini, demikian diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kami merancang untuk memuktamadkan sukuk ini pada 2025 di samping melengkapkan semua pengaturan dan persiapan yang diperlukan,” kata beliau dalam ucaptama pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) pada Selasa.

Iklan
Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan, menekankan komitmen Malaysia untuk melaksanakan inovasi dalam struktur sukuk, terutamanya untuk menyelaraskan dengan matlamat peralihan iklim dan tenaga, selain menekankan kepada kemampanan.

Beliau berkata, inovasi sebelum ini seperti struktur sukuk ihsan SRI (pelaburan bertanggungjawab sosial) dan berkaitan dengan wakaf.

Iklan

Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur sehingga RM3 bilion dalam pelaburan patuh syariah melalui Dana Pemacu.

Pelaburan ini bertujuan memperkukuh syarikat tempatan Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dan memacu ekosistem pelaburan teroka, kata beliau.

Iklan

Perdana Menteri turut melancarkan Bursa Sosial pertama di Malaysia, yang akan ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), menyediakan platform berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan impak sosial yang positif.

"Ini akan memberi manfaat kepada entiti seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan majlis agama Islam negeri," kata beliau.

Anwar berkata, inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC) Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), yang akan meningkatkan dan melabur dana secara digital menggunakan teknologi blockchain, memperkenalkan token berlandaskan aset Islam dan sandbox kewangan digital Islam.

Beliau memuji industri perbankan Islam yang sama-sama memperuntukkan RM2.67 bilion dalam kemudahan pembiayaan bercagar melalui Platform Bersepadu Halal Halal Development Corporation untuk menyokong pembangunan industri halal Malaysia.

Beliau berkata, perkongsian risiko perlu mentakrifkan bukan sahaja produk pengguna tetapi juga memberikan panduan kepada usaha kreatif peserta industri.

"Dalam tempoh tidak menentu ini, mengambil risiko adalah perlu supaya kita dapat mengatasi pencapaian sebelum ini dan benar-benar memanfaatkan potensi di hadapan kita," kata beliau.

Beliau menggalakkan institusi untuk melabur, berinovasi, menyepadukan dan berfikir di luar kotak, menawarkan penyelesaian yang belum diterokai oleh kewangan konvensional.

"Ini terutamanya, inovasi dalam sektor halal yang perlu jadi tumpuan utama untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam rantaian bekalan secara menyeluruh," kata beliau.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan kertas kerja Majlis Pimpinan MIFC (MLC) bertajuk 'Putting the Islam in Islamic Finance'.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi MLC, Tan Sri Azman Mokhtar dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!