PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menguatkuasakan sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia adalah melakukan kesalahan selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta333).
Menurutnya, sejak April 2019, MOT melaksanakan pendaftaran Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada pemilik kenderaan asing yang merentasi Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor serta Kompleks CIQ Bangunan Sultan Abu Bakar di Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
"Hampir lima tahun sistem RCVEP tidak dapat dilaksanakan akibat kekangan tertentu termasuk Covid-19 dan sebagainya, justeru MOT akan menguatkuasaakan pelaksanaannya pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di bangunan MOT di sini pada Selasa.
Anthony berkata, semua pemilik kenderaan motor asing yang akan merentasi Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura boleh menggunakan tempoh masa dari sekarang sama ada untuk memperbaharui VEP yang akan tamat tempoh atau melengkapkan proses pendaftaran mendapatkan VEP bagi kenderaan mereka.
"Tindakan penguatkuasaan akan diambil ke atas mana-mana kenderaan asing yang tidak mempunyai VEP semasa memasuki atau berada di Malaysia mulai tarikh yang dimaklumkan.
"Selari dengan tarikh mula penguatkuasaan tersebut, MOT berharap agar semua pemilik kenderaan motor asing segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP untuk mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.
Jelasnya, pemilik kenderaan asing yang telah membuat permohonan tag RFID VEP akan dihantar terus ke rumah masing-masing.
Difahamkan, berdasarkan rekod semasa, terdapat hanya sekitar 70,000 kenderaan motor pendaftaran Singapura berdaftar dan mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan motor yang telah berdaftar namun masih belum melengkapkan proses memasang dan mengaktifkan tag VEP masing-masing.
Sementara itu Anthony berkata, pelaksanaan VEP juga akan diperluas di sempadan darat Malaysia-Thailand.
"Bagi tujuan ini, MOT berhasrat mempelawa mana-mana pihak yang berminat dan berkelayakan untuk mengemukakan cadangan bagi membangun dan mengoperasikan sistem tersebut bagi pihak JPJ.
"Bagi menilai kebolehlaksanaan dan kaedah pelaksanaan yang lebih kompetitif, tiada sebarang suntikan perbelanjaan kerajaan akan dikeluarkan oleh MOT bagi menampung kos pembangunan dan pengoperasian sistem tersebut,” katanya.
Katanya lagi, semua kos hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang berminat. Mereka boleh mengemukakan cadangan mengenai model-model perniagaan yang akan dipertimbangkan selanjutnya dalam tawaran pihak syarikat.
"Seterusnya, mana-mana pihak yang berkelayakan dan telah mengemukakan cadangan kompetitif akan dilantik dan diberi kuasa oleh MOT bagi melaksanakan fungsi pengurusan pendaftaran VEP dan kutipan caj RC bagi pihak Pegawai Pengangkutan Jalan, untuk suatu tempoh yang akan ditetap dan diluluskan kemudian,” katanya.
Anthony berkata, MOT akan menganjurkan satu sesi taklimat kepada pihak-pihak yang berminat untuk membangun sistem dan mengoperasikan pengurusan sistem RCVEP di lapan pintu masuk sempadan Malaysia dengan Thailand pada 24 Jun ini.
"Selepas sesi taklimat, semua pihak berminat boleh mengemukakan cadangan masing-masing mulai 1 Julai ini dengan tarikh akhir mengemukakan cadangan ditetapkan pada 1 September 2024.
"Mana-mana pihak yang berminat boleh membuat pendaftaran dengan melayari https://bit.ly/RCVEPMsiaThailand. Sebarang pertanyaan boleh emel kepada amirul@mot.gov.my sertaarbi@mot.qov.my,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!