Ibu, anak maut motosikal rempuh lori balak

Iklan
Keadaan lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang ibu dan anak.

MARANG - Dua beranak maut apabila motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah lori muatan balak dalam kejadian di Kilometer (km) 21 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang dekat Kampung Durian Guling di sini awal pagi Selasa.

Nahas berlaku kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan mangsa wanita yang berusia 22 tahun bersama anaknya berusia dua tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 2.25 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario merempuh sebuah lori yang diparkir di bahu kiri jalan.

Iklan

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama anaknya dari arah Kampung Gondang mahu pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Bading, Ajil Hulu Terengganu.

Keadaan motosikal dinaiki mangsa selepas terlibat kemalangan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori terbabit menyebabkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia," katanya di sini, pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzi di talian 010-2840273 atau 09-6182222 (IPD Marang)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!