GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang diminta mendengar keluh-kesah rakyat berhubung kenaikan tarif air di negeri ini.
Izhar Shah Arif Shah (Bersatu-Seberang Jaya) berkata, kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga diminta untuk menilai semula keputusan-keputusan yang dibuat.
"Soal kenaikan tarif air ini, isu-isu yang dibangkitkan serta dibangkitkan oleh wakil rakyat lain. Mereka juga mengemukakan banyak pandangan yang baik. Saya menyokong segala pandangan tersebut.
"Saya juga tidak terkecuali, turut menerima pelbagai rungutan serta aduan daripada warga Seberang Jaya. Oleh itu, saya ingin mendesak supaya pihak PBAPP dan kerajaan negeri mengambil tanggungjawab dan bertindak menghadam keluh-kesah rakyat di negeri ini.
"Jika terpaksa dinaikkan (tarif air), lakukanlah secara berfasa supaya rakyat di negeri ini tidak dibebani dengan kegusaran untuk membayar bil air yang mahal," katanya.
Izhar berkata demikian ketika membahaskan ucapan perasmian Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.
Sebelum ini, kadar tarif air domestik di Pulau Pinang naik berganda bermula 1 Februari lalu di mana pengguna yang menggunakan sehingga 20 meter padu air sebulan akan dikenakan caj 50 sen setiap meter padu, berbanding kadar terdahulu 22 sen.
Pengguna yang menggunakan 20 hingga 35 meter padu air sebulan akan dikenakan caj RM1.10 setiap meter padu, manakala penggunaan lebih 35 meter padu akan dikenakan RM2 setiap meter padu, berbanding kadar semasa masing-masing 46 dan 68 sen.
Susulan kadar baharu itu, ramai pengguna di Pulau Pinang terkejut dengan peningkatan kadar bil bekalan air dengan kebanyakan meningkat lebih 100 peratus sehingga lebih 150 peratus sejak Februari lalu.
Dalam pada itu, Izhar turut menyentuh mengenai kadar sewa premis milik agensi kerajaan, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang didakwa dinaikkan secara mengejut.
"Kenaikan kadar sewa premis sebuah agensi kerajaan yang dinaikkan secara mengejut dan mendadak, saya difahamkan oleh usahawan-usahawan yang menyewa di premis milik Perda tentang kenaikan kadar sewa premis dinaikkan kepada hampir dua kali ganda.
"Seperti yang saya tekankan tadi, bukan semua dapat mengharungi cabaran ekonomi masa kini dengan selesa. Oleh demikian, saya memohon Timbalan Pengerusi Perda, Rashidi Zinol untuk membantu mengkaji semula keputusan kenaikan ini," katanya.
Tambah beliau, sekiranya kadar sewa itu terpaksa dinaikkan atas faktor-faktor tertentu, ia perlu dilakukan secara berfasa atau berperingkat, dalam jangka masa yang selesa kepada usahawan dan penyewa.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!