489 kes tipu tanah babit kerugian RM300 juta direkod

Iklan
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR - Sebanyak 489 kes penipuan tanah dilaporkan dengan nilai kerugian hampir RM300 juta sejak 2021 hingga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tahun ini sehingga 19 Mei lalu pula, sebanyak 74 kes dicatatkan membabitkan nilai kerugian RM60.6 juta.

Iklan
Iklan

Ramli berkata, pengadu yang juga seorang ahli perniagaan berusia 69 tahun mendakwa telah ke Pejabat Tanah Gombak, Selangor untuk membuat carian berkenaan tanah milik ahli keluarganya yang meninggal dunia pada 1997.

"Hasil semakan, dia mendapati tiga lot tanah milik berkenaan dipindah milik kepada seorang individu tidak dikenali sejak pada bulan Ogos 2004.

Iklan

"Pengadu juga diberikan dokumen perintah mahkamah bagi tujuan pindah milik tanah, namun setelah semakan dibuat dengan pihak mahkamah, didapati ia palsu,” katanya.

Beliau berkata, semakan nombor kad pengenalan pemilik baharu tanah terbabit juga mendapati ia tidak wujud.

Iklan

"Nilai kerugian yang dialami masih dalam taksiran. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata berdasarkan siasatan, beberapa kelemahan dikenal pasti menjadi faktor mengakibatkan berlakunya kes penipuan tanah, antaranya kekurangan ilmu pengetahuan dalam kalangan pembeli.

"Kebanyakan pembeli yang menjadi mangsa tidak mengetahui prosedur dalam urusan jual beli tanah dan tidak merujuk atau mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga apabila melakukan pindah milik atau pembelian tanah.

"Segala urusan diserahkan sepenuhnya kepada ejen atau wakil jualan tanah,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan penipuan tanah semakin berleluasa kerana wujud kelemahan diperingkat Pejabat Tanah dan Daerah dalam menguruskan prosedur pindah milik tanah.

"Mungkin terdapat kekurangan pengetahuan dalam kalangan kakitangan Pejabat Tanah untuk mengenal pasti ketulenan dokumen dikemukakan dalam urusan pindah milik tanah.

"Setiap dokumen yang dihantar hanya dipastikan lengkap dan layak untuk didaftarkan. Kebanyakan mereka tidak dilatih atau didedahkan untuk mengesan jenis penipuan yang berlaku dalam urusan urus niaga tanah," katanya.

Ramli berkata, ada sesetengah kakitangan menguruskan perihal pendaftaran tanah berdasarkan pengetahuan yang diperoleh daripada pengalaman sendiri atau daripada rakan sekerja yang telah lama bekerja.

"Bagi mengekang kes penipuan tanah, kita menyarankan agar prosedur pindah milik tanah diperketatkan dengan meletakkan tanggungjawab kepada Pejabat Tanah untuk mengesahkan ketulenan sesuatu dokumen yang dikemukakan kepada pihak mereka.

"Walaupun ini akan mengakibatkan tempoh urusan pindah milik menjadi lebih lama, namun ia adalah wajar," katanya.

"Ini mengambil kira kesan jika berlaku penipuan, kerugian yang bakal ditanggung oleh mangsa boleh mencecah sehingga jutaan ringgit,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan ‘orang dalam’ di Pejabat Tanah dan Daerah sendiri untuk memudah cara pindah milik tanah untuk habuan tertentu.

"Kegiatan penipuan sebegini adalah bersindiket kerana ia memerlukan beberapa pihak untuk bekerjasama dalam melakukan penipuan.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengelak menjadi mangsa penipuan tidak kira sama ada mereka pembeli atau pemilik tanah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!