Rasionalisasi subsidi diesel tidak jejas prestasi THP

Iklan
THP perjelas rasionalisasi subsidi diesel tidak akan memberi impak prestasi sebaliknya memberi faedah kepada pekebun-pekebun kecil.

SHAH ALAM - Rasionalisasi subsidi diesel tidak akan memberi impak kepada Tabung Haji Plantation Berhad (THP) malah memanfaatkan pekebun-pekebun kecil.

THP dalam satu kenyataan berkata, sebagai pemain huluan dalam rantaian bekalan kelapa sawit, pihaknya telah menggunakan diesel pada kadar perindustrian dan penyingkiran subsidi diesel tidak akan menjejaskan prestasi.

Iklan
Iklan

"THP memahami kebimbangan pihak berkepentingan sama ada perubahan ini akan menjejaskan prestasi dan operasi THP.

"THP mengalu-alukan Program Budi Madani yang diumumkan untuk memberi subsidi diesel bersasar kepada pekebun kecil agro komoditi.

Iklan

"Subsidi ini akan memberikan faedah kepada pekebun-pekebun kecil yang membekalkan buah sawit kepada kilang-kilang minyak sawit milik THP,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, permohonan bagi program Budi Madani melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula Selasa.

Iklan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menurutnya, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Mengulas lanjut, THP memaklumkan, pekebun kecil komoditi sawit memperoleh faedah lebih baik khususnya mereka yang menggunakan pelbagai jenis pengangkutan persendirian seperti lori kecil untuk mengeluarkan buah sawit dari ladang dan menghantar ke kilang sawit milik THP.

"THP menyokong usaha murni kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan ekonomi negara. Inisiatif ini adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kami akan memberi komitmen untuk menyumbang secara positif kepada matlamat ini,” ujar kenyataan itu.

Tambah THP lagi, pihaknya turut melaksanakan inisiatif membeli buah tandan segar (BTS) sawit daripada pekebun kecil Bumiputera.

Kata kenyataan itu, ia bertujuan untuk meningkatkan kapasiti kilang sawit milik THP dan pada masa sama menyumbang pendapatan lebih baik kepada golongan itu.

"Inisiatif ini juga mewujudkan rantaian nilai mampan bagi pekebun kecil, THP dan Lembaga Tabung haji (LTH).

"Berpandukan sambutan yang amat menggalakkan, inisiatif berkenaan sudah dilebarkan hampir ke seluruh enam kilang milik THP yang beroperasi.

"Program ini menyumbang 30 peratus kepada BTS yang diproses oleh kilang-kilang minyak sawit THP,” jelas kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!