SHAH ALAM - Seramai empat anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dalam Ops Samba 2.0 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan menerima suapan antara RM1,200 hingga RM32,300 berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan, bermula tujuh tahun lalu.
Rahi Shamudin Ishak, 51, Mat Hafizan Abdullah, 42, Ahmad Shahremy Ahmad Damanhuri, 40, dan Mohd Sufian Hashim, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.
Rahi Shamudin berdepan 42 pertuduhan rasuah berjumlah RM32,300 manakala Mat Hafizan, empat pertuduhan (RM1,200); Mohd Sufian, dua pertuduhan (RM1,250) dan Ahmad Shahremy satu kes (RM5,000).
Mengikut pertuduhan, mereka sebagai pembantu penguasa kastam didakwa menerima suapan secara pemindahan dalam talian ke akaun bank masing-masing daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun.
Ia sebagai balasan tidak memeriksa lori-lori milik syarikat tersebut yang membawa keluar barang dari kargo KLIA.
Kesalahan didakwa dilakukan di cawangan bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Taman Sri Serdang dan Bandar Baru Salak Tinggi antara 1 Disember 2017 hingga 24 April 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd 'Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hezri Shaharil dan Muhamad Aizat Fakri.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Rahi Shamudin diikat jamin sebanyak RM30,000 manakala Mat Hafizan (RM10,000) dan masing-masing RM8,000 untuk dua lagi tertuduh dengan seorang penjamin.
Ia termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah bagi Rahi Shamudin selain melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya sekali setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan bagi setiap tertuduh.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 11 Julai depan.
SPRM dalam satu kenyataan pada Khamis lepas berkata, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan Ops Samba 2.0 bermula 11 hingga 25 Mac lalu.
Kata kenyataan itu, operasi tersebut yang menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai JKDM bertugas di bahagian kargo KLIA, berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!