Kadar sewa Pasar Payang bakal dinaikkan mulai Januari tahun depan

Iklan
Pasar Kedai Payang 1 yang akan dijadikan pasar kesenian, kebudayaan dan warisan menempatkan sejumlah 444 peniaga dan ianya merupakan pasar ikonik yang menempatkan peniaga-peniaga bagi jualan emas, cenderahati, batik, sutera dan barang-barang tembaga. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Kadar sewa Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 akan dinaikkan sehingga RM50 seunit dijangka mulai Januari tahun depan.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, langkah itu perlu dilaksanakan bagi menampung kos penyelenggaraan yang tinggi serta menaik taraf kemudahan demi keselesaan dan keselamatan peniaga juga pengunjung.

Iklan
Iklan

Beliau berkata ketika ini kadar sewa di Pasar Payang 2 adalah antara RM30 hingga RM330 sebulan dan kali terakhir semakan dibuat pada 1997 iaitu 27 tahun yang lepas.

"Setiap tahun kos operasi termasuk penyelenggaraan sentiasa meningkat dan ia tidak seiring dengan kadar sewa yang dipungut oleh Majli Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sekarang.

Iklan

"Keadaan ini menyukarkan MBKT melaksanakan pelbagai pelan yang dirancang seperti memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan kemudahan lain untuk peniaga serta pengunjung," katanya dalam sidang media di Menara MBKT, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Rosli berkata, selain mengurangkan beban operasi dan menaik taraf kemudahan, keputusan menaikkan kadar sewa juga bagi mengelak berlakunya sewaan premis kepada pihak ketiga disebabkan kadar bayaran yang sangat rendah.

Iklan

Menurut beliau, MBKT telah mengambil tindakan membatalkan lesen lebih 10 peniaga yang didapati menyewakan premis kepada pihak ketiga dengan bayaran sehingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kadar sewa asal.

'Kita dapati ada peniaga yang menyewa lot Pasar Payang dengan kadar asal RM70 tetapi disewakan kembali dengan harga RM700.

"Ada juga yang sewa tetapi tak berniaga. Mereka tidak kisah untuk bayar sewa RM70 dan RM100 sebulan kerana nilai itu sangat rendah. Ini tidak memenuhi matlamat kita untuk menjana ekonomi rakyat.

"Bagi kes sebegini kita akan tarik balik hak sewaan dan kalau ada kes lebih teruk, MBKT tidak teragak-agak untuk senarai hitam peniaga berkenaan," katanya.

Pasar Kedai Payang 2 menempatkan seramai 580 peniaga setelah penyusunan semula bagi barangan basah seperti ayam, daging, ikan dan sayur, barangan runit dan juga produk keropok. Foto Bernama

Beliau berkata, walaupun kadar sewa Pasar Payang bakal dinaikkan ia jauh masih rendah berbanding pasaran semasa dan premis selain milik MBKT.

Dalam perkembangan berkaitan Rosli berkata Pasar Payang 1 yang dibina dengan kos RM69.3 juta akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 1 Julai depan.

Beliau berkata, bangunan setinggi dua tingkat itu akan dibahagikan mengikut jenis perniagaan bagi memastikan suasana lebih tersusun dan kemas.

Peniaga barang kemas serta perhiasan, cenderamata dan kedai pelbagai akan ditempatkan di bahagian bawah (ground floor) manakala bahagian atas tertumpu kepada jualan pakaian termasuk batik, songket dan sutera.

"Kita sedang membuat pengubahsuaian di tingkat atas bagi membolehkan lebih ramai peniaga pakaian dapat ditempatkan di situ," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!