ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencadangkan kerja-kerja cucian berat, membuang enapan serta membina ban dilaksanakan di Sungai Pendang bagi menyelesaikan masalah perparitan di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh, Pendang.
Menurut kenyataan dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat MADA, pihaknya memohon Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan perkara berkenaan bermula dari Aquaduct Tanah Merah hingga ke Sungai Kedah sepanjang 23 kilometer (km) sebagai tindakan jangka panjang.
Menurutnya, masalah ini juga dapat diselesaikan dengan membina struktur 'drainage end control (DEC)' di hujung Alor Mengkuang ke Sungai Pendang dan stesen pam saliran di hujung Alor Mengkuang ke Sungai Pendang.
"Siasatan mendapati keluasan keseluruhan kawasan sawah pagi bagi blok tersebut adalah 351.96 hektar dengan saluran air semulajadi di bawah selenggaraan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Bagaimanapun, pihak MADA juga mengambil tanggungjawab membantu menyenggara saluran air yang menimbulkan masalah kepada mereka untuk menjalankan aktiviti penanaman padi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Tali air cetek, dipenuhi kangkung - Pesawah
Tambah kenyataan itu, pihak MADA telah mengambil tindakan dengan kerja-kerja membuang enapan di Alor Tok Pauh sepanjang 6 km pada April 2024 lepas.
Beliau berkata, ia bagi membantu mengatasi masalah saliran dihadapi petani untuk menjalankan aktiviti penanaman padi di kawasan tersebut.
"Kerja-kerja membuang enapan di Alor Ali, Parit Susur Alor Ali dan Parit Bonggol Tok Ali yang merangkumi 4.147 km juga dilaksanakan pada bulan Ogos 2023," katanya.
Selain itu, Cawangan Komunikasi Korporat MADA memaklumkan, pihaknya juga telah meninggikan ban kiri Sungai Pendang sepanjang 2 km dan ia telah dilaksanakan pada bulan Februari 2024 lepas.
"MADA telah merancang tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut dengan melaksanakan kerja membuang enapan di Alor Mengkuang sepanjang 2.7 km," katanya.
Menurutnya, pihak MADA amat prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi pesawah di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh tersebut.
Dalam perkembangan sama, MADA berharap kerjasama yang padu daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) adalah diharapkan bagi menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan tersebut.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 20 pesawah di Kampung Alor Ali dan Kampung Tok Pauh Mukim Bukit Raya di sini mengalami kerugian apabila tidak dapat mengerjakan sawah kerana masalah perparitan.
Pesawah, Abdul Hamid Ghafar, 45, berkata, tali air di kawasan sawah seluas 30 hektar itu tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia semakin cetek selain dipenuhi kangkung.
Katanya, keadaan itu berlarutan sejak lima tahun lalu walaupun aduan kepada pihak bertanggungjawab sudah diajukan beberapa kali.