SYARIKAT teknologi tempatan, AFM Fulfillment menggunakan adaptasi teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik bagi membantu operasi perniagaan dalam talian usahawan lebih efektif dan cepat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jookaplee Shaaibon berkata, syarikatnya bersedia untuk mengautomasikan perniagaan dengan lancar bermula daripada pergudangan, pengurusan pesanan, pembungkusan dan penghantaran terakhir kepada pelanggan.
"Kami sedang membentuk semula konsep pemenuhan dengan menyepadukan sistem robotik termaju ke dalam pengurusan. Robot canggih ini mengendalikan tugasan daripada pengurusan inventori hingga ke pembungkusan bersama tenaga kerja manusia dengan cekap dan tepat.
"Pendekatan inovatif ini bukan sahaja mengoptimumkan peruntukan sumber dan mengurangkan ralat, tetapi juga mempercepatkan pemprosesan pesanan, menghasilkan penghantaran yang lebih pantas dan kepuasan pelanggan yang lebih baik," katanya ketika Sesi Demonstrasi dan Penerangan Khas berkenaan 'Smart Robotic Fulfillment' di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Selasa.
Tambah Jookaplee, dengan menggunakan teknologi tersebut, pihaknya bukan sahaja memperkemas operasi dan mengurangkan kos, tetapi juga meningkatkan keseluruhan pengalaman pelanggan serta menetapkan penanda aras baharu untuk piawaian di negara ini.
Ujarnya, syarikat perniagaan kini melalui fasa baharu dengan adaptasi teknologi terkini termasuk AI dan robotik yang dijangka menjadi keperluan pada masa hadapan.
"Kami komited untuk mengurangkan kadar pertumbuhan yang perlahan dalam sektor ekonomi dengan menyediakan pemilik perniagaan dengan infrastruktur terbaik dan penyelesaian inovatif," katanya.
Dalam pada itu, AFM Fulfillment berhasrat perkhidmatannya memenuhi keperluan pelanggan, pemilik perniagaan e-dagang dan pasaran produk di seluruh dunia.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!