SHAH ALAM - Ahli kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC), Northport (Malaysia) Bhd (Northport) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjalinkan kerjasama bagi melaksanakan projek pertanian menegak berskala besar yang inovatif untuk memperkasa ekonomi pekeliling.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, projek tersebut akan dimulakan di Northport dan dijangka membawa manfaat besar kepada masyarakat Klang terutama dalam meningkatkan hasil sayuran tempatan.
Menurutnya, ia termasuk penglibatan masyarakat dan pendidikan tentang amalan mampan, pengurangan jejak karbon dan sisa tapak pelupusan melalui teknik pertanian yang inovatif, serta memperkukuhkan daya tahan keterjaminan makanan tempatan.
"Menerusi projek kerjasama ini, Northport dan MDBK berhasrat untuk mengembangkan inisiatif ini dengan melibatkan lebih ramai rakan kongsi komuniti dan pihak berkepentingan.
"Kami mahu membudayakan amalan kemampanan sebagai sebahagian daripada landskap bandar Klang.
"Kerjasama ini adalah langkah penting ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Azman Shah, untuk projek pertanian di Northport, sistem penuaian air hujan akan digunakan untuk mengumpul sumber tersebut dalam tangki simpanan sebelum dipam terus menggunakan tenaga solar bagi memastikan ia mesra alam.
Tambah beliau, sistem pertanian menegak ini juga menggunakan baja organik yang dihasilkan oleh mesin penghadam aerobik.
Ulasnya, mesin tersebut berupaya menukar bahan sisa makanan pepejal dari kantin sekitar Northport kepada kompos dan menjadi baja yang kaya dengan nutrien untuk tumbuhan.
Jelas beliau, pembiayaan projek tersebut adalah hasil daripada kempen ‘Ayuh Kitar Semula’ yang dilancarkan oleh pihak syarikat sejak 2018 dan telah berjaya mengumpul lebih 217 tan barangan kitar semula bernilai RM75,254.
"Sebelum ini Northport telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa kemampanan sebagai sebahagian daripada strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat.
"Projek ini mula dijalankan di premis kami pada Ogos 2023 dan setelah melihat hasil yang positif, syarikat telah memanjangkan inisiatif ini ke sekolah-sekolah di sekitar Klang.
"Matlamat kami adalah untuk menjadikan ekosistem yang mampan dengan penglibatan pihak berkepentingan,” ujarnya.
Sementara itu, Datuk Bandar Klang, Datin Paduka Noraini Roslan berkata, projek inovatif tersebut sangat baik bagi membangunkan ekosistem alam sekitar di Klang.
Menurutnya, kaedah pertanian menegak membolehkan penggunaan sumber lebih cekap dengan pemantauan dan penggunaan air secara minimum terutama kawasan tanah yang kecil seperti di bandar atau tapak perindustrian.
Tambah beliau, pertanian menegak menggalakkan ekonomi pekeliling dengan menekankan kemampanan, meminimumkan sisa dan memaksimumkan kecekapan sumber.
"Projek inovatif yang dimulakan oleh Northport ini merupakan inisiatif yang sangat baik kerana ia menggabungkan kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti bagi membangunkan ekosistem, khususnya di Klang.
"Kami merasakan adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menyokong inisiatif ini dan kami telah memperuntukkan sebidang tanah di Pelabuhan Klang untuk projek itu.
"Pihak MBDK berharap lebih banyak organisasi akan tampil dan mengambil bahagian dalam inisiatif ini kerana ia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!