KAJANG - [DIKEMAS KINI] Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan sesat ketika menjalankan aktiviti riadah di Bukit Broga di sini pada Isnin ditemui meninggal dunia pada Selasa.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 2.50 petang tadi.
"Remaja tersebut dijumpai pada jarak 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh gaung pada kedalaman 10 meter.
"Pada jam 3.42 petang, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pada Isnin, Pusat Gerakan Operasi Selangor telah menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 berkaitan kejadian mangsa sesat di Bukit Broga pada jam 4.08 petang.
"Mangsa beralamat di rumah kebajikan Sungai Buloh dipercayai sesat semasa sedang menjalankan aktiviti riadah bersama penjaganya berusia 40-an serta dua rakan lain berusia 13 tahun.
"Mangsa mula mendaki pada jam 8 pagi, Isnin.
"Bagaimanapun, penjaga itu tidak bersama mangsa ketika kejadian berlaku kerana laluan balik semasa 'trekking' berbeza," katanya.
Katanya, susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih telah digerakan ke lokasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Beliau berkata, agensi bantuan lain seperti Polis Diraja Malaysia, malim gunung, Ranjer Hutan, Pejabat Perhutanan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarela Serdang turut terlibat dalam SAR.
"Gerakan mencari dan menyelamat itu merangkumi pencarian dari puncak satu hingga ke puncak tiga seluas 1.5 kilometer.
"Kaedah yang digunakan dalam operasi tersebut adalah"sweeping searching” dari puncak tiga hingga ke Pusat Kawalan Bomba.
"Pencarian hari pertama ditangguhkan pada jam 2.30 pagi," katanya.
Wan Md Razali berkata, mayat diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk tindakan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!