Serangan Israel: Hampir sejuta orang larikan diri dari Rafah

Iklan
Penduduk beramai-ramai meninggalkan Rafah walaupun tiada tempat yang selamat untuk pergi dan di tengah-tengah pengeboman, kekurangan makanan dan air. Foto AFP

ANKARA - Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa berkata, sejak tiga minggu lepas, hampir 1 juta rakyat Palestin telah melarikan diri dari Rafah, selatan Semenanjung Gaza, di tengah-tengah pencerobohan berterusan Israel ke bandar itu, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan di platform X, UNRWA berkata, penduduk beramai-ramai meninggalkan Rafah walaupun tiada tempat yang selamat untuk pergi dan di tengah-tengah pengeboman, kekurangan makanan dan air.

Iklan
Iklan

"Hari demi hari, pemberian bantuan dan perlindungan menjadi hampir mustahil," menurutnya dan mengulangi gesaan untuk gencatan senjata segera.

Rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan Tal al-Sultan di Rafah dengan barang-barang mereka berikutan serangan baharu Israel di bandar di selatan Semenanjung Gaza pada Selasa. Foto AFP

Sebelum pelancaran operasi ketenteraan Israel ke atas Rafah pada 6 Mei lepas, ia menjadi tempat tinggal dan perlindungan kepada lebih 1.5 juta penduduk Palestin yang melarikan diri dari kawasan mereka di seluruh Semenanjung Gaza akibat serangan Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Iklan

Pada Selasa, tentera Israel mula memperluas serangannya ke atas Rafah di tengah-tengah serangan dan pengeboman hebat, memaksa ribuan orang melarikan diri dari barat Rafah ke arah Khan Younis dan kawasan di tengah Semenanjung Gaza.

Perkembangan semasa pencerobohan Israel ke atas Rafah menjadikan tentera Israel hampir menguasai sepenuhnya kawasan sempadan antara Semenanjung Gaza dan Mesir, yang dikenali sebagai Koridor Philadelphi, zon penampan bebas tentera yang terletak di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.

Penduduk Palestin berkumpul di tapak serangan Israel di kem pelarian di Rafah. Foto AFP

Iklan

Tentera Israel setakat ini telah merampas kawalan hampir dua pertiga daripada kawasan koridor ketika ia mara melalui pengeboman dan serangan.

Israel meneruskan serangan kejamnya ke atas Gaza walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut gencatan senjata segera.

Sekurang-kurangnya 36,050 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak dan lebih 81,000 yang lain cedera sejak Oktober.

Lebih tujuh bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas musnah di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang telah mengarahkan Tel Aviv untuk memastikan tenteranya tidak melakukan tindakan itu dan mengambil langkah untuk menjamin bahawa bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!