SUNGAI PETANI - Seorang pemandu kren maut selepas dipanah petir ketika sedang berehat dalam buaian di pondok di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Jagung Sungai Layar di sini pada malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa, Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, tidur berseorangan atas buaian semasa hujan lebat dan petir dalam kejadian jam 9.45 malam itu.
Beliau berkata, isteri mangsa bersama abang dan rakan-rakan suami menyangka suaminya sedang tidur.
"Apabila isteri mangsa berusia 31 tahun keluar dan mahu mengejutkan suaminya, namun mangsa sudah tidak bergerak ataupun sedarkan diri.
"Mangsa kemudiannya terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital itu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Azharuddin berkata, siasatan di tempat kejadian menemukan kesan terbakar pada kayu tempat gantung buaian dan wayar elektrik telah putus.
Tambah beliau, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada petang Selasa turut mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa berpunca dari panahan petir.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!