SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa rakyat negara ini tidak mempunyai kebebasan bersuara dan dipaksa menutup mulut dalam menyuarakan pendapat.
Beliau mendakwa, mereka yang melanggar kesusilaan undang-undang telah menghalang rakyat daripada membuat sebarang teguran, malah memberi tekanan sehingga memaksa untuk tidak menyuarakan sebarang pendapat.
"Antara kebebasan yang terdapat di Malaysia adalah kebebasan tidak bersuara. Kebebasan ini membolehkan mulut ditutup melainkan waktu makan.
Menurutnya, rakyat tidak berhak untuk bersuara jika terdapat tekanan dan jika ketidakadilan berlaku, mereka perlu menutup mulut supaya negara stabil serta aman.
"Jika tuduhan yang tidak berasas disuarakan oleh rakyat, mereka tidak berhak mempertahankan diri," katanya.
Mengulas lanjut, menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, rakyat tidak bebas lagi untuk bersuara tentang perkara yang berkaitan pertuduhan atau perbincangan yang dibuat secara tertutup mahupun rahsia.
Ujarnya, perkara tersebut menyebabkan keadilan negara sukar dicapai jika ia berterusan berlaku.
"Rakyat bebas tidak bersuara tentang perbicaraan atau perbincangan yang dilakukan secara rahsia menyebabkan keadilan akan tercapai dan negara terus aman serta makmur.
"Sesungguhnya Malaysia sudah menjadi contoh demokrasi di mana mulut rakyat bebas ditutup,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!