GENTING GAZA - Drama 'empati' Amerika Syarikat (AS) menerusi projek pembinaan jeti terapung sementara berhampiran Genting Gaza hanya dapat ditonjolkan dalam waktu singkat.
Laporan Pusat Perintah AS (CENTCOM) pada akhir minggu lalu mendedahkan empat kapal penyokong yang disambungkan kepada platform di Laut Mediterranean itu terlepas daripada tambatan setelah sambungan pada bot kecil terputus ketika proses pemunggahan bantuan kemanusiaan.
Dua daripada kapal itu kini tersadai di pantai Gaza berhampiran jeti terapung tersebut manakala dua lagi hanyut ke pantai utara berhampiran pantai bandar Ashkelon.
Insiden itu bagaimanapun menarik perhatian pengguna media sosial yang secara sinis menyatakan misi itu sudah dijangka gagal memandangkan pentadbiran Presiden Joe Biden terus bersekongkol dengan perang genosid di Gaza.
Projek pembinaan platform bernilai AS$320 juta (RM1.5 bilion) yang dibanggakan Washington itu bermula pada akhir bulan lalu di bawah arahan Biden selepas Rumah Putih mendakwa inisiatif tersebut kononnya dapat menyampaikan bantuan diperlukan kepada penduduk Palestin.
Banyak pihak mencemuh tindakan hipokrit AS yang masih membekalkan senjata kepada sekutu kuatnya, Israel untuk membunuh penduduk Gaza tetapi dalam masa yang sama mahu membantu golongan tersebut.
Pengkritik juga melihat projek jeti terapung itu sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian komuniti antarabangsa terhadap sekatan ketat di lintasan sempadan yang menghubungkan ke enklaf tersebut.
Selain kempen pengeboman ganas, rejim Zionis sengaja menggunakan kelaparan sebagai 'senjata' terhadap kira-kira 2.3 juta penduduk Palestin yang terperangkap di wilayah tersebut.
Kumpulan hak asasi manusia juga berpendapat Biden berpura-pura mengambil berat tentang krisis kemanusiaan di Gaza berikutan desakan yang semakin meningkat setelah rejim Tel Aviv terus menutup akses jalan darat.
Sebelum ini, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis kemanusiaan sudah memberi amaran penghantaran bantuan melalui koridor maritim itu tidak akan dapat meringankan penderitaan penduduk Palestin yang kelaparan.
Pada minggu lalu, jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral, Patrick Ryder berkata, beliau tidak percaya pemindahan bantuan menerusi jeti terapung itu selamat tiba kepada penduduk di Gaza.
Sementara itu, aktivis pro-Palestin berpusat di AS, Asal Rad berpendapat platform itu adalah 'bencana yang boleh diramalkan'.
"Israel sengaja membiarkan penduduk Gaza kelaparan sedangkan Washington bermain wayang seperti tiada apa yang berlaku,” ujarnya dengan lantang mengutuk sikap hipokrasi AS.
Makanan rosak
Pada Jumaat lalu, PBB memaklumkan ia telah menerima kira-kira 97 trak bantuan kemanusiaan melalui platform terapung itu sejak ia mula beroperasi.
Angka itu adalah jauh lebih rendah berbanding anggaran awal iaitu sebanyak 150 trak yang diperlukan meskipun agensi bantuan menyatakan akses perlu diberikan kepada sekurang-kurangnya 600 trak sehari.
PBB kekal dengan saranan mereka iaitu penghantaran melalui jalan darat adalah cara yang paling berdaya maju, berkesan dan cekap untuk menangani krisis kemanusiaan di wilayah terkepung berkenaan.
Pada minggu lalu, agensi antarabangsa itu turut mengumumkan ia terpaksa menggantung usaha pengagihan makanan di Rafah kerana kekurangan bekalan selain situasi keselamatan yang membimbangkan setelah rejim Zionis memperluaskan operasi ketenteraan mereka.
Laporan media baru-baru ini juga mendedahkan sebahagian bekalan makanan yang terkandas di Mesir sudah mula rosak dan tidak lagi boleh dimakan berikutan lintasan sempadan Rafah terus ditutup selama tiga minggu berturut-turut setelah tentera Israel mula mara ke Rafah.
"Buah seperti epal dan pisang serta ayam mentah dan keju tidak lagi boleh dimakan. Ada yang terpaksa dilupuskan atau dijual pada harga lebih rendah,” kata pemandu trak, Mahmoud Hussein.
Selain masalah penutupan lintasan sempadan, kumpulan pelampau Yahudi turut membuat onar dengan menyerang trak bantuan kemanusiaan setelah tindakan tidak bertamadun itu disokong para menteri 'ekstremis' Israel. - Agensi
Info
> Menurut data PBB, hanya 900 trak secara total memasuki Gaza sejak 7 Mei lalu.
> Sehingga 16 Mei, lebih 2,000 trak PBB dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) terpaksa menunggu kebenaran untuk memasuki Gaza termasuk sebanyak 1,574 buah yang membawa bekalan makanan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!