KUALA TERENGGANU - Kempen kutipan zakat fitrah melalui pembayaran DuitNow QR berjaya meningkatkan kutipan zakat berkenaan oleh amil yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, kempen yang dikhususkan kepada amil itu bagi kutipan zakat fitrah bermula 1 hingga 30 Ramadan lepas.
"MAIDAM kini dalam proses untuk menambah baik kecekapan operasi dengan beralih dari kaedah tradisional kepada penggunaan teknologi.
"Setiap amil yang dilantik oleh MAIDAM diberikan kod QR untuk bayaran zakat fitrah. Alhamdulillah...sambutan amat menggalakkan dan berdasarkan data yang ada terdapat peningkatan ketara oleh pembayar zakat menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian di pejabat MAIDAM di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Azrin berkata, dua kategori kempen kutipan zakat fitrah itu melibatkan amil yang mendapat jumlah nilai transaksi tertinggi manakala amil yang mendapat bilangan transaksi tertinggi melalui kod DuitNow QR.
Menurutnya, MAIDAM telah memilih Mohd Azrul Hafiz Alias yang merupakan amil berdaftar di bawah agensi itu sebagai pemenang bagi kedua kategori kempen kutipan zakat fitrah melalui DuitNow QR pada tahun ini.
"Syarat kempen itu ialah amil yang menerima minimum 100 transaksi dan minimum kutipan RM2,000.
"Pemenang bagi setiap kempen berkenaan akan menerima hadiah sebanyak RM1,000 seorang. Jadi pada hari ini kita raikan amil yang terpilih iaitu Mohd Azrul Hafiz Alias kerana paling banyak memanfaatkan kemudahan yang ada sepanjang kempen diadakan," ujarnya.
Sementara itu, pemenang kempen yang juga amil, Mohd Azrul Hafiz berkata, dia memuji kempen yang diadakan MAIDAM itu kerana memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian.
"Cara saya gunakan untuk tarik orang ramai membayar zakat fitrah dengan mempromosikan kutipan zakat fitrah menggunakan kod DuitNow QR melalui Facebook dan TikTok.
"Kebanyakan pembayar kutipan zakat menggunakan kod QR ini merupakan orang muda dan golongan yang bekerja di luar kawasan dan 'offshore'. Ini memudahkan urusan mereka membayar zakat secara dalam talian.
"Selain itu, kita yang bertindak sebagai amil juga tidak perlu menyimpan duit di tangan secara banyak kerana kutipan duit zakat itu terus disalurkan ke akaun bank MAIDAM," jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!