Semak akaun pemilik sebelum sumbang derma

Iklan
Mohd Hakim menasihatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang pemilik akaun sebelum ‘terpengaruh’ dengan cerita yang disampaikan agar sumbangan diberi tidak disalah guna.

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai orang Palestin bagi meraih sumbangan menerusi siar langsung di platform media sosial.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, konsep tersebut terutama menerusi aplikasi TikTok sentiasa menjadi pilihan kerana pengguna boleh menyalurkan sumbangan dengan memberi hadiah secara terus ke akaun pemilik.

Iklan
Iklan

Namun beliau berpandangan, pengguna juga seharusnya bertindak bijak dengan menyemak latar belakang pemilik akaun sebelum ‘terpengaruh’ dengan cerita yang disampaikan agar sumbangan diberi tidak disalah guna.

"Saya lebih suka melihat dari sudut positif, walaupun ada segelintir pihak yang cuba ambil kesempatan, tetapi kita sebagai pengguna perlu tahu keutamaan mereka yang sebenarnya.

Iklan

"Semak dulu adakah mereka benar-benar ambil kesempatan atau sememangnya siar langsung itu cara terbaik beritahu dunia keadaan sebenar di Gaza,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini tular perkongsian seorang pengguna aplikasi X mengenai taktik segelintir pihak yang ‘mengemis’ sumbangan token di TikTok melalui siar langsung dengan menunjukkan keadaan di Gaza.

Iklan

Pengguna X itu membongkar individu berkenaan ‘terkantoi’ apabila bahagian ulang siar akaun TikTok lelaki itu terdapat video-video wanita yang kelihatan bukan dari negara Arab, sebaliknya wanita Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Mohd Hakim turut menasihatkan orang ramai supaya mempelbagaikan saluran derma supaya sumbangan itu dapat disampaikan menerusi pelbagai cara.

"Boleh derma tetapi dalam masa sama kita perbanyakkan lagi alternatif, (contoh) melalui Ops Ehsan yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan.

"Saya risau kalau kita beri (sumbangan) hanya menerusi satu alternatif, kalau orang betul-betul kutip sumbangan bantu Gaza akan tersekat sumber bantuan kerana wujud prasangka buruk,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!