MAKKAH - Jemaah haji wanita yang datang haid ketika berada di Tanah Suci tidak perlu untuk berasa sedih dan murung kerana tidak dapat melakukan ibadah seperti solat dan mengunjungi Masjidil Haram sepanjang tempoh berkenaan.
Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci Tabung Haji (TH), Ustazah Zaimah Mohd Zain berkata, jemaah haji wanita perlu memahami bahawa haid itu adalah satu anugerah ALLAH SWT.
Menurutnya, mereka perlu reda dengan perkara itu kerana ini tidak mencacatkan amalan ibadah, sebaliknya mungkin akan diberikan lebih banyak pahala.
"Haid ini adalah anugerah kepada kaum hawa dan jika kita faham perkara itu kita tidak harus rasa risau kerana ia tidak mencacatkan ibadah haji seseorang wanita mahupun menjadi halangan untuk mereka mendapatkan haji mabrur.
"Banyak ibadah lain yang masih boleh dilaksanakan kecuali berkaitan masjid, tawaf dan membaca al-Quran sahaja. Pengisian lain yang boleh dilakukan seperti zikir, dan berdoa sepenuh hati dan sepanjang berada dalam keadaan itu.
Zaimah yang telah berpengalaman menjadi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci TH sejak 2007 berkata walaupun dalam keadaan uzur syarie, rukun dan wajib haji yang lain seperti wukuf di Padang Arafah, mabit di Muzdhalifah dan Mina serta tahalul masih boleh dilakukan.
Menurutnya, isu berkenaan fiqh wanita sememangnya menjadi soalan yang kerap ditanya menerusi talian ibadah Tabung Haji menerusi perkhidmatan e-Taib (talian ibadat) dalam aplikasi THhujjaj.
"Kita dapati ada wanita yang tidak faham tentang permasalahan haid, dengan kata lain ada perkara yang mereka perlu belajar sehingga betul-betul faham tentang soal itu.
"Contohnya semasa dalam larangan ihram yang panjang disebabkan haid, apa yang berlaku kebanyakan daripada wanita keliru bila sebut losen mereka tidak berani untuk memakainya kerana risau melanggar larangan ihram kerana kurang jelas tentang perkara itu.
"Sebenarnya bahan kosmetik ataupun losen berunsurkan berminyak dilarang dikenakan di muka, namun tidak ada masalah sekiranya losen berkenaan hendak disapu pada di bahagian paha atau kaki untuk mengelakkan kulit kering,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihati jemaah haji wanita yang menghadapi masalah atau mempunyai kekeliruan tentang permasalahan fiqh wanita supaya menghubungi Pembimbing Ibadah Haji Tanah Suci untuk mengelakkan kekeliruan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!