MAKKAH - Seramai 5,681 jemaah haji Malaysia direkodkan telah mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Madinah dan Makkah serta klinik kesihatan maktab sejak 9 Mei sehingga semalam.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Abdul Marsudi Manah berkata, daripada jumlah tersebut hanya 34 jemaah haji dimasukkan ke dalam wad dan angka ini disifatkan sebagai terkawal.
Beliau yang juga merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah memaklumkan berdasarkan lebih 17,000 jemaah yang berada di Tanah Suci ketika ini, purata jemaah mendapatkan rawatan adalah empat daripada 100 jemaah.
"5,681 jemaah haji nampak seperti angka yang besar, tetapi ini adalah angka sejak hari pertama jemaah haji KT1 sampai di Madinah.
Beliau berkata, kebanyakan banyak jemaah yang datang ke klinik adalah disebabkan persekitaran sesak, kering, panas dan berhabuk yang menyebabkan penyakit seperti batuk selesema dan sakit otot.
"Jenis penyakit jemaah berkaitan dengan persekitaran yang panas dan berdebu. Jemaah yang datang adalah berkaitan saluran respiratori,” katanya.
Menurutnya, penyakit seperti ini antara sebab mengapa ziarah bilik ke bilik dilaksanakan pihak perubatan kerana terdapat keperluan untuk jemaah haji memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada persekitaran tersebut.
"Sebab kita nak bagi penekanan kepada jemaah walaupun Covid-19 terkawal tetapi kita minta pakai pelitup muka untuk lindungi diri daripada persekitaran ini.
"Cuaca yang panas ini bila kita sedut, secara tidak langsung menyebabkan tekak, hidung luka. Inilah sebab kita rasa walaupun tak demam tetapi batuk,” katanya.
Dr Abdul Marsudi berkata, pemakaian pelitup muka bukan sahaja untuk melindungi diri daripada Covid-19, bahkan juga virus lain disebabkan di Tanah Suci ini terdapat ramai jemaah daripada negara lain.
"Kita sentiasa minta jemaah untuk pakai pelitup muka dan elak berada di tempat sesak. Ini bukan sahaja untuk elak Covid-19 tetapi juga virus yang lain. Di Tanah Suci ini ada lebih ratusan negara termasuk daripada Asia Tenggara dan Afrika. Kita tidak tahu apa virus ada pada jemaah-jemaah ini.
"Dalam masa sama kita juga berhubung kepada Kementerian Kesihatan Arab Saudi, jika ada saranan dan nasihat mereka kita akan ikuti,” katanya.
Ketika ditanya sama ada terdapat jemaah yang menyembunyikan penyakit kronik, Dr Abdul Marsudi berkata, jemaah sebenarnya tidak sembunyikan penyakit, sebaliknya jemaah hanyalah teruja apabila tiba di Tanah Suci yang menyebabkan mereka lupa untuk makan ubat mengikut jadual yang sepatutnya.
"Jemaah yang sampai ke Tanah Suci, dia bukan nak sorok. Ini pengalaman sekali seumur hidup, jadi jemaah teruja untuk kerjakan umrah, tawaf sunat.
"Mereka teruja sehingga lupa nak makan ubat. Kadang-kadang mereka tidak boleh agak bila sepatutnya makan ubat sehingga menyebabkan kondisi badan bermasalah,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!