PASIR GUDANG - Kerajaan wajar membatalkan perjanjian antara Khazanah Nasional dengan Global Infrastructure Partners (GIP) yang melibatkan penjualan sebahagian ekuiti syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu segera membatalkannya kerana bukan sahaja memberi kesan terhadap pemilikan tempatan tetapi juga dilihat satu langkah ke belakang.
"Saya ingin bertanya apakah kerajaan Malaysia sekarang sudah membuat satu dasar pelaburan negara baru yang mundur ke belakang? Kenapa kerajaan membenarkan penswastaan syarikat MAHB milik kerajaan Malaysia sehingga 30 peratus saham MAHB dijual kepada GIP.
"Adakah dasar pelaburan negara seperti ini bersifat progresif atau regresif? Saham MAHB secara kepentingan nasional, kepentingan strategik dan kepentingan keselamatan tidak boleh jatuh ke tangan entiti asing yang jelas mencurigakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat gelanggang futsal yang rosak bersama-sama wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini pada Rabu.
GIP dan Adia akan menyertai konsortium itu di bawah usaha sama, GIP Aurea, sekiranya perjanjian itu dimuktamadkan, Khazanah dan KWSP akan menguasai 70 peratus MAHB, manakala GIP Aurea pula akan memegang 30 peratus lagi.
Mengulas lanjut, Hassan mempersoalkan sama ada kerajaan kini begitu terdesak menjual sebahagian ekuiti syarikat sepenting itu kepada syarikat asing seperti GIP yang berkait rapat dengan syarikat pelaburan BlackRock.
Syarikat BlackRock jelasnya, mempunyai hubungan rapat dengan Israel serta memiliki pegangan dalam syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera Israel dan perkembangan itu amat membimbangkan sekali gus menimbulkan tanda tanya rakyat.
"Bagaimana saya hendak menjawab kepada rakyat sekiranya dalam bulan Julai atau September ini pengambilan BlackRock ke atas GIP selesai?
"Apa maknanya Malaysia dan rakyatnya bersungguh-sungguh menyokong perjuangan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat tetapi kerajaan membenarkan syarikat MAHB yang strategik 30 peratus sahamnya jatuh ke tangan GIP dan BlackRock yang pro Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza," soalnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!