Majlis Peguam tuntut perbaharui akta berkaitan kejujuran profesion

Iklan
Akta Profesion Undang-undang 1976 (LPA) memerlukan pembaharuan dengan memperkenalkan pindaan kepada akta agar dapat menangani ketidakjujuran dalam profesion undang-undang. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Majlis Peguam menuntut pembaharuan atau pindaan akta yang memperuntukkan cara memerangi salah laku profesional, termasuk perbuatan tidak jujur ​​oleh peguam agar dapat menangani ketidakjujuran dalam profesion undang-undang.

Presidennya, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pihaknya akan berjuang secara berterusan untuk melakukan pembaharuan terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 (LPA), namun ia memerlukan sokongan serta kerjasama daripada kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Badan Peguam Malaysia menyedari hakikat bahawa peguam memegang amanah berdasarkan tugas yang dijalankan dan majoriti mereka melaksanakan tugas dengan jujur demi kepentingan pelanggan mereka.

"Walau bagaimanapun, ia adalah fakta yang tidak dapat dielakkan bahawa kelakuan buruk wujud dalam semua jawatan amanah, termasuk profesion undang-undang.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, polis menyiasat sebanyak 22 kes pecah amanah oleh peguam yang diterima sejak 1 Januari hingga 15 Mei lalu tahun ini membabitkan mangsa mengalami kerugian RM19.05 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sepanjang tahun lalu, sejumlah 31 kes pecah amanah jenayah membabitkan peguam disiasat melibatkan nilai kerugian RM35,916,664.36.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad Ezri berkata, Badan Peguam Malaysia mengiktiraf usaha dan langkah yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dalam menangani jenayah melibatkan profesion undang-undang dan orang yang menyamar sebagai peguam.

"Sebelum ini pihaknya bekerjasama dengan PDRM untuk menangani ketidakjujuran yang melibatkan profesion undang-undang.

"Kerjasama yang berkesan antara kami adalah penting jika sebarang kemajuan ingin dicapai. Dalam hal ini, kami memuji PDRM khususnya Penolong Pengarah JSJK, ACP Muhammad Tarmizi Awang kerana sudi menerima cadangan kami,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara ditubuhkan pada tahun 1992 di bawah seksyen 93 LPA, memainkan peranan penting dalam memerangi ketidakjujuran dalam profesion undang-undang.

Mohamad Ezri berkata, jika didapati bersalah atas salah laku, Lembaga Tatatertib boleh mengenakan satu atau lebih daripada hukuman antaranya teguran, mengenakan denda tidak melebihi RM50,000.

"Seterusnya, penggantungan tugas untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau membatalkan daripada daftar peguam bela dan peguam cara,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!